Jumaat, 30 Oktober 2009

Buku teks sekolah, Kementerian Tarbiyah & Pendidikan, Kerajaan Arab Saudi


Sudah 2 orang ustaz bertanya kepada saya tentang rujukan silibus pengajian sekolah sebagai panduan untuk silibus sekolah[aliran agama] mereka. Jadi saya rasa elok juga jika saya kongsikan ianya di sini.

Ketika saya tinggal di Lunas, Kedah, saya sering mengunjungi Dewan Pengajian Al-Qayyim atau Institut al-Qayyim di Mengkuang, Pulau Pinang. Di dewan tersebut selalu diadakan majlis-majlis ilmu dan di situ juga terdapat sebuat perpustakaan kecil untuk dewan tersebut. Menariknya, terdapat koleksi sejumlah buku teks sekolah Kerajaan Arab Saudi. Ada buku tauhid, fiqh, matematik, dan banyak lagi. Pendek kata, ia adalah buku-buku teks sekolah beraliran agama yang mana ada subjek-subjek pengajian islam dan subjek-subjek pengajian bukan pengajian islam. Saya pernah terfikir, buku-buku tersebut boleh dijadikan bahan kajian untuk silibus pengajian sekolah di Malaysia.

Jika bidang pengajian anda ialah bidang pendidikan, anda boleh membuat kajian penbandingan antara silibus pengajian Kerajaan Malaysia dan silibus pengajian Kerajaan Arab Saudi. Jika anda ingin menyediakan silibus untuk sekolah anda [aliran agama], anda boleh merujuk buku teks tersebut sebagai panduan. Jika anda memilih "Home Schooling" untuk anak anda, anda juga boleh merujuk pada buku teks tersebut.

Berita baiknya, buku-buku tersebut boleh anda dapatkan secara percuma dari laman web Perpustakaan Digital, Kementerian Tarbiyah & Pendidikan, Kerajaan Arab Saudi. Jika anda ingin merujuk buku tersebut dalam versi bukan elektronik, silalah lawati Institut Al-Qayyim.

 


Khamis, 29 Oktober 2009

Edaran percuma CD pengenalan tentang Islam


Satu ketika dahulu, seorang kawan telah memberikan kepada saya 2 keping CD bertajuk Discover Islam. Ia adalah satu koleksi audio, video, e-buku, artikel terpilih tentang Islam dari Laman IslamHouse.com. Subhanallah! isinya sangat bagus untuk mereka yang baru dengan Islam dan mereka yang belum Islam. Bagus untuk tujuan distribusi percuma. CD tersebut saya hadiahkan kepada perpustakaan MEDIU untuk simpanan dan rujukan penggunanya.

Seorang kawan meminjamnya dan mengakui akan bagusnya isi CD tersebut, lantas berpakat dengan beberapa kawan lain untuk mencetaknya sebanyak mungkin untuk diedarkan secara percuma kepada yang belum Islam. Lalu CD pun dicetak sebanyak 1000 salinan dengan kos RM1.90 sekeping. Sekarang CD-CD tersebut sedang dalam proses edaran.

Saya sendiri merasa ta'jub dengan kesungguhan mereka ini. Dengan usaha & sumbangan kewangan mereka tersebut, dapatlah juga saya menumpang untuk mengedarkan CD-CD tersebut. Sayang juga, ia hanya boleh diedarkan pada mereka yang memahami bahasa Inggeris.

Terfikir juga, jika kita juga dapat berbuat demikian, alangkah bagusnya. Kita pilih rakaman audio, video, artikel yang sesuai, lalu kita CDkan, cetak banyak-banyak dan edarkan kepada masyarakat umum. InshaAllah ia adalah satu cara dakwah yang berkesan.

Entahlah benar atau tidak, kata teman sekerja saya yang pernah tinggal di Saudi, antara sebab tersebarnya dakwah di Saudi ialah dengan cara EDARAN PERCUMA rakaman-rakaman video dan audio serta tulisan-tulisan.


Isi kandungan CD tersebut boleh didownload dari sini.


Majalah Sunnah



Beberapa orang kawan bertanya kepada saya, "Di mana ada jual Majalah Assunnah?" saya menjawab: "cuba tanya Nawawi". Lalu saya sms-kan no HP Nawawi kepada mereka.


Sebelum ini, saya pernah menjual majalah tersebut di gerai buku darul ilm di UIAM. Ketika itu, ada juga beberapa orang kawan yang melanggan dari saya. Setiap bulan, saya akan pos kan senaskah ke beberapa tempat antaranya Sarawak & Pahang.

Majalah tersebut memang bagus dari segi kualiti ilmiahnya, cumanya ia adalah majalah terbitan Indonesia. Sesetengah orang Melayu tidak dapat memahami bahasanya. Namun bagi yang minat mengkaji, bahasa bukanlah penghalang, yang diperlukan hanyalah sedikit masa untuk membiasakan diri dengan beberapa istilah asing yang mampu dipelajari.

Pertanyaan mengenai majalah tersebut bagi saya menunjukkan bahawa majalah sepertinya memang sukar untuk diperolehi dikedai-kedai. Majalah yang mungkin hampir kualiti ilmiahnya di Malaysia ialah Majalah I terbitan Karangkraf.

Saya menggalakkan kawan-kawan yang ingin mendapatkan input ilmiah subjek Islam agar membaca majalah seperti ini. Jika antum ingin mendapatkan Majalah Assunnah, antum juga boleh hubungi saudara Nawawi.





Khamis, 22 Oktober 2009

Twitter sebagai alat untuk pengumuman



Sudah agak lama, saya menangguhkan hasrat untuk menulis tentang twitter. Saya pernah memberitahu seorang kenalan yang saya inshaAllah akan menulis sedikit tentangnya. Telah agak ramai individu-individu yang saya kenali menggunakan twitter. Jadi, saya rasa perlu dikongsikan di sini beberapa perkara yang mungkin sebahagian dari antum belum tahu tentang nya. Jadi untuk tulisan kali ini, saya mulakan dengan tajuk Twitter sebagai alat untuk pengumuman.

Sesetengah kenalan saya, menggunakan emel dan YM, untuk memberitahu kenalannya bahawa dia baru sahaja menulis entri baru diblognya. Maka, selalunya ketika saya log in meebo, akan sampai pengumuman tentang tulisan baru di blognya.

Sebahagian lain yang saya kenali, menggunakan twitter untuk memberitahu, beliau akan berada di sekian tempat, pada tarikh sekian, untuk tujuan sekian. Ada juga yang mengiklankan bahawa blog atau webnya akan dikemaskini dan tidak boleh dilawati untuk tempoh sekian.

Di sini, saya ingin cadangkan pengguna twitter dan YM untuk tujuan pengumuman perkara berikut.

Ramai pengguna twitter yang mahir, menggunakan twitter untuk mengumumkan tulisan terbaru diblog mereka. Bagi saya, cara ini akan memberi manfaat dari segi meluasnya sebaran pengumuman tersebut hinggakan ia boleh sampai kepada mereka yang tidak dikenali oleh sipembuat pengumuman. Bagaimana ia berlaku? Jawabnya ialah melalui RT atau retweet. Bagi pembaca pengumuman yang rasa tertarik dengan iklan tersebut, ada kemungkinan yang dia akan RT iklan tersebut. Maknanya, iklan tersebut, tidak sekadar sampai kepadanya, ia juga akan tersebar kepada kenalan-kenalannya. Dan dengan cara ini, mesej akan tersebar lebih meluas.