Pages

Jumaat, 31 Julai 2015

Cara membantu simati secara sunnah: Berpuasa bagi pihaknya



Cara membantu simati secara sunnah: 
No. 7 - Berpuasa bagi pihaknya


Jika simati perlu berpuasa samada puasa yang perlu diqadha atau puasa nazar, lalu dia mati sebelum sempat melunaskan puasanya, maka warisnya boleh berpuasa bagi pihaknya. 

Dari 'Aisyah radliallahu 'anha bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
من مات وعليه صيام صام عنه وليه
"Barangsiapa meninggal dunia dan memiliki hutang puasa maka walinya (boleh) berpuasa untuknya". (Sahih Al-Bukhari, no. 1952)

Dalam riwayat yang lain, dari Ibnu 'Abbas radhiallahu 'anhuma, dia telah berkata;
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ، وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ ‏ "‏ نَعَمْ ـ قَالَ ـ فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى ‏"
"Telah datang seorang lelaki kepada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam lalu dia berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan dia mempunyai kewajipan (hutang) puasa selama sebulan, adakah boleh aku menunaikan puasa tersebut bagi pihaknya?”. Baginda sallallahu'alaihi wa sallam berkata: "Ya", Baginda melanjutkan: "Hutang kepada Allah adalah lebih berhak untuk ditunaikan" (Sahih Al-Bukhari, no. 1953)


Siapakah yang boleh berpuasa bagi pihak simati?

Hadis riwayat ‘Aisyah di atas menyebut wali simati. Ulama berbeza pendapat dalam ini, ada yang mengatakan wali merujuk kepada waris simati dan ada yang merujuk kepada saudara dekat.  

Ulama juga berbeza pendapat dalam hal, bolehkah seseorang yang bukan waris dan saudara dekat berpuasa bagi pihak simati. Imam An-Nawawi berpendapat ianya sah jika dengan izin walinya dan tidak sah tanpa izin dari pihak walinya. 

Ramai ulama lain juga berpendapat ia adalah harus, antaranya Imam Al-Bukhari, Imam Ibn Qudamah Al-Maqdisi dan Imam Ibn Taimiyyah. Antara alasannya ialah kerana Rasulullah menyamakannya dengan hutang, maka ia boleh dilunaskan oleh sesiapa sahaja. Adapun disebut “wali” dalam hadis adalah kerana biasanya walilah yang perlu membayar hutang bagi pihak simati (Masaail muta’alliqah bi qadha’ al-siyam).


Khamis, 30 Julai 2015

Tidak sah solat, jika ada najis pada tubuh badan


Allah berfirman:
وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ
"dan pakaianmu, maka bersihkanlah" (Al-Muddaththir:4)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam pernah bersabda, 
 أكْثَرُ عذابِ القبْر مِن البَوْل
" Azab kubur yang paling banyak adalah dari air kencing". (riwayat Ibn Majah, no. 283; dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dua dalil dari Quran dan Sunnah tersebut dan banyak lagi dalil yang lain yang menunjukkan wajibnya kita mehilangkan najis dari diri kita.

Selain itu, hadis Abi Sa’id Al-Khudri, radhiallahu ‘anhu, beliau berkata,
 بينما رسولُ الله -صلى الله عليه وسلم- يُصلِّي بأصحابِه، إذ خَلَع نعليه فوضعهما عن يسارِه، فلمَّا رأى ذلك القومُ: ألْقَوا نِعالهم، فلمَّا قَضَى رسولُ الله -صلى الله عليه وسلم- صلاتَه قال: ((ما حمَلَكم على إلْقائِكم نِعالَكم؟))، قالوا: رأيناك ألقيتَ نَعْلَيْكَ فألْقَيْنا نِعالَنا، فقال رسولُ الله -صلى الله عليه وسلم-: ((إنَّ جِبريلَ أتاني فأخْبَرني أنَّ فيها قَذَرًا
"Ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sedang solat bersama sahabatnya, tiba-tiba baginda menanggalkan alas kakinya lalu diletakkan di sebelah kirinya. Maka apabila orang-orang melihat perkara tersebut, mereka pun menanggalkan alas kaki – alas kaki mereka. Apabila selesai solat, baginda bertanya, apa yang membuatkan kalian menanggalkan alas kaki kalian? Mereka berkata, “Kami melihat kamu menanggalkan alas kakimu lalu kami pun menanggalkan alas kaki kami.” Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesunguhnya Jibril telah datang kepadaku lalu dia memberitahuku bahawa padanya (alas kakiku) ada najis.” (Riwayat Abu Daud, no. 650) 
Sila rujuk: Ringkasan Hukum Najis-najis (ملخص أحكام النجاسات).

Majoriti ulama berpendapat bahawa sesiapa yang solat sedangkan dia membawa sesuatu yang najis, maka solatnya tidak sah. Sila rujuk: al-Mughni (1/403) dan al-Majmoo' (3/157)  (Fatwa Islam Question and Answer, No. 101176).

 

Q&A: Wudhu dan minyak gamat

Q: 
Assalamualaikum ustaz.. Nak tanya sikit.. Kalau kita pakai minyak gamat/lintah atau minyak2 yg berasaskan binatang.. Boleh tak sembahyang.. Atau kena cuci dahulu baru boleh sembahyang.
...

A:

Wa'alaykum  As-Salam ...

Apa yang difahami dari soalan ini ialah berkaitan jika seseorang menyapukan minyak gamat/lintah atau minyak jenis lain pada anggota wudhuk, adakah dia perlu hilangkan kesan minyak tersebut sebelum dia berwudhu untuk solat?

Jawapannya, bergantung kepada minyak tersebut, jika ia menghalang air dari sampai ke kulit, kesan minyak tersebut perlu dihilangkan terlebih dahulu (Fatwa Islamweb no. 1726). 

Allah Ta'ala memerintahkan kita supaya berwudhuk sebelum solat, iaitu termasuk dengan membasuh beberapa anggota badan seperti muka, kedua tangan hingga ke siku dan kedua kaki hingga buku lali. Firman-Nya:
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فاغْسِلُواْ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُواْ بِرُؤُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَينِ [المائدة: 6].
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhuklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali..."(Surah Al-Maidah:6)
Menurut tafsiran ulama, arahan membasuh anggota wudhuk tersebut, adalah dengan mengenakan air pada kulit. Jumhur ulama berdalilkan sabda Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam dalam hal ini:
فإذا وجدت الماء فأمسه جلدك
"Maka ketika kamu menjumpai air maka sapulah ia kepada kulitmu." (Sunan Abu Daud, no. 333; hadis dinilai sahih oleh Al-Albani)
Maka jika ada sesuatu yang menghalang air dari terkena kulit, maka ia perlulah dihilangkan terlebih dahulu (Fatwa Islamweb no. 29701).

Wallahu a'lam.

Sabtu, 6 Jun 2015

Lambang Ugama Allah

شَعَائِرِ اللَّهِ
Syiar (lambang, simbol, tanda, upacara) ugama Allah


 Istilah ini boleh dijumpai dalam 4 ayat yang berbeza dalam Al-Qur'an, iaitu:
  1. Surah Al-Baqarah: 158
  2. Surah Al-Ma'idah: 2
  3. Surah Al-Hajj: 32
  4. Surah Al-Hajj: 36

Semua ayat ini ada kaitan dengan ibadah haji. Agaknya inilah sebabnya dalam Al-Mu'jam Kalimaat Al-Quran, شعائر الله diberi maksud "tanda agamanya dalam haji dan umrah". Manakala menurut Mu'jam Mustalahat Fiqhiyyah pula, kata الشعائر ialah kata jamak kepada شعيرة yang bermaksud "apa yang digalakkan oleh syarak kepadanya dan diperintahkan untuk mendirikannya". (Al-Maany.com)

Dalam tafsiran surah Al-Baqarah: 158, ada kisah menarik tentangnya. Mari kita lihat terjemahannya seperti yang diterjemah oleh Syeikh Abdullah Basmieh:

إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ
Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.

Kesimpulan dari tafsiran Ibn 'Ashur, ayat ini turun sebagai menjawab isu muslimin Ansar yang menyangka bahawa amalan saie di Bukit Safa dan Marwah dalam ibadah haji adalah dari amalan jahiliyah, lalu turunlah ayat ini menerangkan bahawa ia sebenarnya adalah satu dari lambang atau upacara Agama Allah, bukan amalan jahiliyyah.

عَنْ عَاصِمِ بْنِ سُلَيْمَانَ، قَالَ سَأَلْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ الصَّفَا، وَالْمَرْوَةِ،‏.‏ فَقَالَ كُنَّا نَرَى أَنَّهُمَا مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ، فَلَمَّا كَانَ الإِسْلاَمُ أَمْسَكْنَا عَنْهُمَا، فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى ‏{‏إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ ‏}‏ إِلَى قَوْلِهِ ‏{‏أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا‏}‏‏.‏
Dari  'Asim bin Sulaiman, dia telah berkata, "Aku telah bertanya Anas bin Malik -radhiallahu 'anhu- tentang Safa dan Marwah, lalu dia (Anas) telah berkata, "Kami berpendapat bahawa keduanya dari amalan jahiliyyah, maka apabila telah Islam, kami menahan diri kami dari keduanya, lalu Allah Ta'ala menurunkan {‏إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ ‏} hingga firman-Nya {‏أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا‏}.
Pada zaman Nabi Ibrahim, amalan ini telah pun wujud dan ia telahpun diamalkan oleh Nabi Ibrahim 'Alaihi As-Salam dan Nabi Isma'il. Namun setelah berlalu tempoh yang terlalu lama, akhirnya ketika  Makkah dalam zaman Jahiliyyah, ada berhala diletakkan di Bukit Safa dan Marwah. Sebab itulah ada sahabat dari golongan Ansar meninggalkan dari beramal dengan amalan ini sehinggalah turunnya ayat 158 dari surah Al-Baqarah seperti di atas.

Dari kisah ini, kita pelajari bahawa sahabat Nabi sangat berhati-hati dalam beramal ibadah. Mereka meninggalkan ibadah selagi ia belum dibuktikan bahawa ia adalah ibadah yang disyariatkan. Semoga Allah menjadikan kita juga seorang yang cermat dan berhati-hati dalam beramal supaya amalan kita diterima oleh-Nya.

Jumaat, 29 Mei 2015

Siapakah yang Paling Mengenali Anda?


Siapakah yang paling mengenali diri kita? Adakah kawan rapat kita? Adakah kekasih kita sangat mengenali kita? Atau mungkin ibubapa kitakah orang yang paling mengenali kita?

Pelajaran dari Kelas Tadabbur Quran oleh Ustaz Baharudin Ayudin (Pusat Pengajian Qur'an - Semat Quran) membuktikan bahawa pencipta kitalah yang paling kenal akan diri kita. Kerana kasih dan rahmat-Nya, Dia memberitahu kita tentang diri kita, apa yang kita perlu tahu tentang diri kita. 

Mahukah kalian kenal diri kalian? Di bawah ini, saya sertakan nota pengajian bertajuk Siapa Aku.  Nombor yang disertakan adalah merujuk kepada No. Surah dan No. Ayat. Contohnya: (4:28) rujuk surah An-Nisaa', ayat ke-28. Nota disalin dari saudara Ahmad Azlan Shamsuddin, UITO.


Siapa aku?

Aku adalah makhluk Allah yang lemah (4:28)

Sebab apa lemah? Aku adalah makhluk Allah yang lemah, gopoh membuat keputusan, [21:37]

dilahirkan ke muka bumi ini dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa. Allah lengkapkan buat diriku selaku makhluk-Nya dengan pendengaran, penglihatan dan akal. Aku bersyukur kepada Allah dengan kurniaan-Nya itu. [16:78]

(Apa tanda kesyukuran atas nikmat Allah itu?) Aku berazam hendak menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya. Justeru itu adalah tujuan penciptaan jin dan manusia. Bahkan untuk tujuan itulah juga fungsi kewujudanku di atas muka bumi ini. [51:56]

Aku jadikan salatku, sembelihan korbanku, hidupku dan persdiaan untuk matiku hanya untuk Allah, Tuhan yang mencipta dan mengatur kehidupan seluruh makhluk-Nya, tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu yang lain. [6:162-163]

Hidup mengabdikan diri kepada Allah inilah yang disebut sebagai jalan yang lurus. Kalimah "mengabdikan diri" lebih tepat daripada "menyembah". Apa bezanya di antara menyembah dan mengabdikan diri? Sembah terikat pada tempat, waktu dan cara.[36:61]

Selaku hamba Allah, aku ditaklifkan dengan tanggungjawab untuk membimbing diriku dan keluargaku supaya terselamat daripada seksaan api neraka. [66:6]

Adalah menjadi kewajipan aku menyiapkan diri menjadi golongan rabbaniy [3:79]

supaya dapat memimpin diriku dan orang yang di bawah pimpinanku menjadi orang-orang yang bertakwa. [25:74]