Pages

Ahad, 19 September 2010

Menonton Orang Lain Bersukan

Bismillahirrahmaanirrahim...

Saya tertarik dengan pandangan Kapten Hafiz Firdaus tentang "menonton orang lain bersukan" dan "menonton TV saban hari" dalam tulisannya bertajuk Wal ‘Ashr: Pengurusan Masa Dalam Islam. Berikut adalah tulisan beliau yang saya maksudkan:

Saya sebenarnya amat hairan memerhatikan gelagat orang yang menonton orang lain bersukan. Bukan sekadar menonton, mereka menyokong pasukan yang ditonton dengan penuh jiwa dan raga. Mereka menunggu perlawanan bermula dengan penuh debaran. Mereka memerhati perlawanan dengan penuh kekhusyukan, kekhusyukan yang mengalahkan semua nilai khusyuk solatnya dalam sehari. Jika pasukan yang disokong menang mereka melompat kegembiraan. Jika sebaliknya, mereka tunduk kesedihan mengalirkan air mata.

      Kepada para penonton seumpama perenggan di atas, saya ingin bertanya beberapa soalan mudah. Jika anda sakit, adakah pasukan yang anda sokong datang untuk menziarahi anda? Jika anda menghadapi kesempitan kewangan, adakah pasukan yang anda sokong memberikan sumbangan atau pinjaman? Jika anda gagal dalam kehidupan, adakah pasukan yang anda sokong akan membantu anda mencapai kejayaan? Saya yakin jawapannya tidak. Oleh itu kenapakah anda menyerahkan segala jiwa dan raga, termasuk masa anda, kepada satu pasukan yang tidak kisah langsung tentang anda?

      Ada pun menonton TV, maka tontonlah dengan manhaj fokus dan prioriti, iaitu satu dua rancangan yang memberi manfaat kepada pembangunan minda. Percayalah, kebanyakan pemilik syarikat siaran TV tidak menonton apa yang disiarkan oleh syarikatnya melainkan beberapa rancangan yang terpilih. Mereka tahu, jika mereka menonton TV saban hari, mereka tidak akan menjadi individu berjaya yang dapat memiliki sebuah syarikat siaran TV.


Mudah-mudahan ia bermanfaat untuk kita semua.

Khamis, 16 September 2010

Berdakwah Melalui Penulisan Efektif

Bismillahi rrahmani rrahim 

Muqaddimah
Menulis adalah satu metod komunikasi yang paling tidak efektif. Demikianlah ujar Ustaz Kapten Hafiz Firdaus dalam bukunya yang bertajuk "Berdakwah Melalui Penulisan Efektif". Jadi, bagaimana caranya jika kita ingin juga menulis dan menjadikan tulisan kita itu tulisan yang efektif supaya dakwah yang kita ingin terapkan melalui tulisan kita tersebut membuahkan hasil bagi pembaca-pembacanya? Persoalan inilah cuba dijawab oleh penulis ini di dalam buku tersebut.
 
Fizikal buku
Buku setebal lebih kurang 100 muka surat ini ditulis dengan format senarai. Poin-poin penting disenaraikan menggunakan format numbering dan bullets. Saiz font yang dipilih adalah saiz font yang sederhana dan menggunakan 1.5 line spacing.
 
Isi
Penulis berusaha berkongsi tips dan pengalaman beliau dengan tulisan yang ringkas dan disertakan dengan contoh-contoh praktikal. Secara umumnya terdapat 3 perkara yang boleh dipelajari oleh pembaca melalui buku ini:
  1. Cara menulis buku
  2. Cara berdakwah melalui penulisan
  3. Cara menulis secara efektif

Buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian merangkumi fasa sebelum menulis, semasa menulis dan selepas menulis. Ia dimulai (di bahagian pengenalan) dengan galakan mengajarkan kebaikan dan diakhiri (di bahagian penutup) dengan “Jangan menulis al-Quran”.
 
Poin-poin penting yang ingin dikongsi
Antara perkara-perkara menarik yang disentuh oleh penulis dalam buku tersebut ialah:
  1. Galakan agar menulis buku tanpa mengambil royalti supaya buku boleh diterbitkan dan dijual dengan harga yang lebih murah.
  2. Anjuran agar penulis menggunakan perisian yang tulen agar setiap yang ditulis akan mendapat keberkatan.
  3. Menulis boleh menambah ilmu melalui kajian yang dijalankan sebelum menulis.
  4. Membeli kitab adalah satu pelaburan.
  5. Pemilihan format dan gaya penulisan yang sesuai.
  6. Komen tentang kaedah membaca “Speed Reading”.
  7. Kepentingan bersikap jujur dalam memilih subjek dan menyatakan rujukan.
  8. Pentingnya perancangan dalam menulis buku.
 
Penutup
Pendek kata, buku yang ringkas dan padat ini sedikit sebanyak telah banyak mengajar saya untuk menulis dengan lebih efektif. Saya mencadangkan kepada rakan-rakan tullaab al-ilm (penuntut ilmu) agar membaca buku nipis ini untuk menambah skill atau memperbaiki teknik penulisan kita. InshaAllah ia bermanfaat untuk aktiviti dakwah kita. Saya pasti ada ramai antara kita yang diberi peluang atau kepercayaan untuk menulis samada artikel atau buku tetapi gagal menggunakan peluang tersebut sebaiknya. Kadangkala bukan kerana tiada keinginan, tetapi tidak tahu caranya.  
 
Baca buku secara online:
PDF | HTML


Selasa, 17 Ogos 2010

Sebarkan Salam Sebarkan Kasih Sayang

Dinukilkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:


لاَ تَدْخُلُوْنَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا، وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا، أَوَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوْهُ تَحَابَبْتُمْ؟ أَفْشُوا السَّلاَمَ بَيْنَكُمْ
“Kalian tidak akan masuk syurga sampai kalian beriman, dan tidak akan sempurna iman kalian hingga kalian saling mencintai. Mahukah aku tunjukkan kalian pada sesuatu yang jika kalian lakukan kalian akan saling mencintai? Sebarkanlah salam di antara kalian.” (HR. Muslim no. 54)

Photo:http://islamic-testi.blogspot.com/ 


Baca artikel: Menyebarkan Salam




Khamis, 5 Ogos 2010

We Search For You





Sudah lebih setahun poster "biar kami tolong carikan…" di atas saya lukiskan. Asalnya saya letakkan poster ini di blog Azzahaby. Kini ia telah diletakkan di laman "We Search For You".  


We Search For You adalah satu servis yang diwujudkan untuk membantu para penyelidik untuk mendapatkan bahan rujukan untuk kajian mereka. Servis ini mula ditawarkan setelah kami dapati terdapat pengkaji-pengkaji yang menghadapai masalah untuk mendapatkan bahan rujukan kerana beberapa halangan antaranya, kurangnya kemahiran "mencari maklumat", faktor geografi dan faktor masa.  Masalah ini menyebabkan kelewatan yang tidak perlu. 

Ada sesetengah pengkaji di kalangan pelajar sarjana mengambil masa yang lama untuk menyiapkan "proposal" untuk tesis mereka hanya kerana tidak sempat ke perpustakaan untuk mencari bahan rujukan. Dengan sebab ini, diharapkan agar servis ini dapat membantu menjimatkan masa pengkaji dengan membantu mereka mencari bahan rujukan dengan upah yang berpatutan. Buat masa ini, servis ini hanya ditawarkan untuk pengkaji-pengkaji dalam bidang Pengajian Islam sahaja.

Servis ini sebenarnya muncul untuk membantu para pelajar yang memerlukan bantuan kewangan dimana, pengkaji-pengkaji yang memerlukan servis ini akan mengupah pelajar tersebut untuk mencarikan bahan rujukan yang diperlukan di perpustakaan. Tugas yang dijalankan sebenarnya  sama seperti tugas seorang "Pembantu Penyelidik" yang ada di universiti-universiti. Mungkin tidak salah jika namakannya sebagai "Pembantu Penyelidik Upahan" atau "Pembantu Penyelidik Peribadi". Servis ini juga cuba memperkenalkan servis "Information Brokering" di Malaysia.
Sehingga kini, We Search For You telah membantu beberapa orang pengkaji dalam bidang pengajian Islam dan telah mendapat sokongan dari kawan-kawan terdekat walaupun tanpa promosi yang sungguh-sungguh. 
Kami akan cuba dapatkan akses ke lebih banyak perpustakaan-perpustakaan universiti  tempatan serta universiti-universiti  di timur tengah untuk rujukan subjek pengajian Islam. Selain itu, kami juga berhasrat untuk menawarkan juga servis ini untuk pengkaji-pengkaji dalam bidang lain seperti, ekonomi, ekonomi Islam, undang-undang, dan sebagainya suatu hari nanti. InshaAllah.

Selasa, 3 Ogos 2010

Islam di Malaysia


Saya dijemput untuk menyumbangkan tulisan tentang "Islam di Malaysia" ke sebuah website di Indonesia. Antara perkara yang saya lakukan untuk menulis tajuk tersebut ialah mengumpulkan tulisan-tulisan dari internet dan buku-buku untuk rujukan. Lalu saya mula membaca untuk mendapatkan maklumat berkaitan.
Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik oleh Kassim Thukiman

Antara bahan bacaan yang mula saya baca ialah buku "Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik tulisan Kassim Thukiman". Buku ini cuba memberikan maklumat tentang Malaysia dari perspektif sejarah dan politik kepada pembaca melalui kajian oleh orang Malaysia. Menurut penulis buku ini, "Penulisan sejarah Malaysia yang awal kebanyakannya memang dikuasai oleh penulis Barat, termasuklah pegawai tanah jajahan. Mereka lebih cenderung menonjolkan kewibawaan golongan kulit putih yang dianggap sebagai pencetus tamadun dan pentadbiran di Malaysia." Beliau seterusnya membuat kesimpulan bahawa "kesan langsung daripada pendekatan tersebut adalah kebanyakan pelajar lebih mengenali tokoh dari Barat seperti Francis Light, Stanford Raffles, Frank Swetternham, JWW Birch, Hugh Low dan sebagainya. Manakala tokoh tempatan seperti Dol Said, Tok Janggut, Dato' Bahaman, Dato' Maharaja Lela, Haji Abdul Rahman Limbong, Rosli Dhobi dan lain-lain seringkali dikesampingkan. Malahan, mereka diberi pelbagai label yang negatif seperti penderhaka atau pemberontak."
Dari sini, saya mula terfikir akan kesan tulisan saya, jika saya menulis berdasarkan sumber-sumber yang tidak sepatutnya. Risau juga jika ia mencacatkan wajah Islam yang sempurna dan indah.
Selain itu, kenyataan tersebut juga membuatkan saya terfikir beberapa perkara lain antaranya:
  • Ia menggambarkan aktiviti-aktiviti serangan pemikiran oleh orentalis di Malaysia pada suatu ketika dahulu. Metode yang digunapakai disini adalah melalui penyelewengan fakta yang bertujuan untuk memburukkan imej Islam dan mencantikkan imej barat dikaca umat Islam dan masyarakat lain yang belum Islam. Hasilnya orang Islam sendiri tidak merasai lagi kehebatan dan keindahan Islam sementara orang-orang lain yang belum Islam terhijab atau terhalang dari mengetahui hakikat dan keindahan Islam.
  • Pentingnya menilai tulisan-tulisan yang ada di internet dan buku-buku. Kerana ada tulisan-tulisan yang ditulis seperti yang digambarkan oleh Saudara Kassim Thukiman tersebut.
Mudahan-mudahan kita akan lebih berhati-hati dalam memilih bahan bacaan supaya kita tidak tersilap dalam tindakan kita akibat penyelewengan fakta.

Jangan Jadi Hamba TV



Pada mulanya, untuk tulisan ini saya tajukkan sebagai "Saya dan TV", tetapi setelah sampai ke poin "Jangan Jadi Hamba TV" saya memilih untuk menjadikannya sebagai tajuk. Sebenarnya poin-poin di bawah ini adalah senarai perkara-perkara yang saya fikirkan tentang TV. Mudah-mudahan, ia memberi manfaat buat anda.
  • TV as an Idiot Box (TV sebagai peti kebodohan) - Saya masih ingat dalam sebuah kelas ketika pengajian saya di UIAM, pensyarah saya menggelar TV sebagai "Idiot Box". Istilah tersebut bagi saya , menggambarkan yang TV adalah sumber kebodohan. Mungkin ini keterlaluan, tetapi bila difikirkan dan cuba dipadankan dengan kiasan ini, dari satu sudut, ada juga betulnya.
  • Siaran Television sebagai salah satu senjata dalam serangan pemikiran. Dalam pelajaran Ghozwul Fikri (Serangan Pemikiran) ada disebutkan antara cara yang digunakan oleh musuh Islam untuk melemahkan umat Islam ialah melalui siaran television yang mana program-programnya telah pun di wujudkan dan disusun untuk tujuan meracuni pemikiran penontonnya.
  • Jangan jadi hamba TV. Seorang sahabat saya bercerita tentang kehidupan kanak-kanaknya dengan TV. Ibunya mengawal beliau supaya beliau berpada-pada menonton TV. Katanya, ibunya selalu mengingatkanya supaya "jangan jadi hamba TV!".
  • Penggunaan TV boleh di kawal. Abu Saif di dalam blognya pernah menulis tentang TV. Beliau memilih untuk membenarkan anak-anaknya menonton TV tetapi dengan kawalan. Beliau berpendapat bahawa menghalang anak-anak dari menonton TV adalah cara yang tidak bijak kerana TV mungkin hanya tiada di rumah anda tetapi ada di rumah saudara-mara dan rakan taulan yang lain.
  • Nilai ekonomi menonton TV. Economic Value atau Nilai Ekonomi adalah satu istilah yang sering digunakan dalam subjek ekonomi. Dalam kes ini, saya ingin gambarkan aktiviti lain yang boleh kita buat pada waktu kita menonton TV, tetapi pada waktu itu kita memilih untuk menonton TV. Antaranya, menambah pahala dengan menuntut ilmu atau mengajar, membaca buku, tidur awal supaya boleh bangun awal dan sebagainya.
  • Hebatnya pengaruh TV. Saya merasa kagum dengan anak saudara saya yang petah berbahasa Inggeris walaupun baru darjah satu. Kata ayahnya, anaknya belajar bertutur bahasa inggeris dari TV. Ketika menziarahi seorang kawan, beliau juga hairan terhadap anaknya yang masih belum bersekolah tetapi suka bertutur dalam bahasa Inggeris. Menurut beliau, beliau dan isteri tidak pernah menggunakan bahasa Inggeris untuk bertutur di rumah. Demikianlah hebatnya pengaruh TV.
  • Harus menonton TV. Pasti ada program-program TV yang "harus" ditonton, namun ia boleh menjadi alat yang boleh dimanipulasi oleh syaitan dalam usahanya mengganggu manusia. Caranya ialah dengan menyibukkan manusia dengan perkara-perkara yang "harus" dari melakukan perkara lain yang boleh menambah pahala. Sebabnya ialah, masa ialah modal kita. Dengan masa yang telah ditetapkan, kita boleh memilih untuk melakukan sesuatu yang boleh menambah pahala atau melakukan sesuatu yang boleh menambah dosa atau melakukan sesuatu perkara yang tidak menambah pahala atau dosa. Tentu rugi jika kita hanya dapat 0 pahala setiap hari untuk 3 jam menonton TV. Lebih rugi lagi jika kita mendapat -1 "pahala" untuk masa menonton tersebut.
  • TV memang ajaib. TV boleh menyiarkan rakaman "aktiviti-aktiviti dalam sebuah bilik orang lain" ke bilik atau rumah kita juga ke restoran dan tempat lain. Satu hari, ketika saya dan pelanggan lain sedang makan tengah hari di sebuah restoran, ditayangkan kepada kami siaran dari dalam bilik seseorang dari negara barat. Terlintas difikiran saya, ajaib sunguh TV ni.
  • TV, aurat, muzik dan dot dot dot.
  • 1 malam tanpa TV. Rupa-rupanya, banyak perkara bermanfaat yang boleh kita selesaikan jika kita tidak menonton TV.

Saya seperti tidak percaya, yang saya mampu menulis sepanjang ini. Semoga tulisan tentang TV ini boleh membawa kebaikan kepada saya dan anda. Sekian.

Rabu, 21 Julai 2010

Serangan Pemikiran

Pagi ini, ketika memandu ke tempat kerja, saya terfikir untuk menulis tentang Serangan Pemikiran. Sebenarnya, sudah lama saya ingin menulis tentang subjek ini, tetapi banyak halangannya, antaranya ialah, saya belum ada kemahiran menulis secara panjang. Jadi kali ini inshaAllah, saya akan menulis tentang subjek ini pendek-pendek, sikit-sikit, inshaAllah lama-lama jadi bukit. 

Apakah dia Serangan Pemikiran?

Serangan Pemikiran adalah satu cara musuh Islam memerangi umat Islam. Serangan ini tidak memerlukan senjata seperti pesawat dan lain-lain tetapi menggunakan kata-kata, tulisan dan seumpamanya. Melalui serangan ini, umat Islam boleh dilemahkan, mudah ditawan dan mudah untuk mengikut perintah dan telunjuk musuh-musuh yang menawan mereka. Pemikiran mereka akan digantikan dengan pemikiran acuan musuh-musuh tersebut.  

Ahad, 4 Julai 2010

Sentiasa Berfikiran Positif


Sentiasalah berfikiran positif. Itulah isi nasihat Dr Sofiane ketika memberi ucapan dalam sebuah majlis di MEDIU. Beliau menceritakan kisah ucapan Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam kepada seorang yang sakit dengan ucapan طهورا، ان شاء الله (InshaAllah, kamu akan disucikan dari dosa-dosamu melalui sakit yang kamu rasa).

Dalam hadis tersebut kata beliau, mengandungi pelajaran bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sentiasa mengajar kita untuk bersikap dan berfikiran positif. Biasanya, sakit dikaitkan dengan perkara negatif. Kita tahu, tiada manusia normal yang suka sakit dan perkara-perkara negatif lain seperti, kerugian, kesusahan, kesedihan dan seumpamanya. 

Namun lain halnya bagi Muslim. Mereka diajar untuk melihat aspek positif dalam setiap kesusahan, musibah, kesakitan, kesedihan yang menimpanya. Hadis lain yang menunjukkan kita kepada hal ini ialah beberapa hadis berikut:

عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير ، وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن ؛ إن أصابته سرّاء شكر ؛ فكان خيراً له ، وإن أصابته ضرّاء صبر ؛ فكان خيراً له 
"Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin, sesungguhnya semua urusannya merupakan kebaikan, dan hal ini tidak terjadi kecuali bagi orang Mukmn. Jika mendapat kegembiraan, maka dia bersyukur dan itu merupakan kebaikan baginya, dan jika mendapat kesusahan, maka dia bersabar dan itu merupakan kebaikan baginya." hadis riwayat Muslim. 

 ما من مسلم يصيبه أذى من مرض فما سواه إلا حط الله به سيئاته كما تحط الشجرة ورقها
Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit atau sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan dosa-dosanya bersamanya, seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya. hadis riwayat al-Bukhari.

ما يصيب المؤمن من وصب ولا نصب ولا سقم ولا حزنحتى الهم يُهَمه إلا كفر به من سيئاته
Tidaklah seorang mukmin ditimpa rasa sakit yang terus menerus, kepayahan, penyakit, kesedihan bahkan sampai kesusahan yang menyusahkannya melainkan akan dihapuskan dengannya dosa-dosanya. Hadis riwayat Muslim.

Ada banyak lagi ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang mengajar kita supaya sentiasa berfikiran positif. Antaranya, ada diterangkan dalam buku kecil tulisan Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas bertajuk Hikmah di Balik Musibah dan Ruqyah Syar’iyyah. Hadis-hadis di atas saya rujuk dari buku tersebut.


Experiment: embedding goodreads review in blogspot

Petunjuk Jalan Kekayaan Petunjuk Jalan Kekayaan by Rusly Abdullah

My rating: 5 of 5 starsThe author share his experience on small scale business.

View all my reviews >>

Rabu, 2 Jun 2010

Risalah Al-Ubudiah


Risalah Al-Ubudiah adalah salah satu karya Syaikhul Islam Ibn Taimiyyah. Kurang pasti dari mana saya mula mendengar tentang kitab ini. Yang saya ingat, kawan saya Abu Ubaidah Abdurrazak pernah menyebutnya kepada saya. Katanya "Best!". Beliau pernah menghadiri daurah di tanah haram, yang mana antara kitab yang diajar ialah kitab tersebut.

Hari ini, kebetulan saya teringat kitab ini dan rasa ingin mengetahui apakah isi kandungan kitab ini. Lalu saya taipkan [ mp3 "شرح العبودية"] di enjin carian google dan akhirnya saya menjumpai rakaman syarah risalah [kitab kecil je rupanya] tersebut oleh Syaikh Abdul'aziz bin Abdullah al-Rajihi. Bolehlah dengar sambil memandu nanti.

Selain Syaikh Abdul'aziz, Syaikh Muhammad Sa'id Raslan juga ada mensyarahkan risalah tersebut. Anda boleh ke laman web beliau untuk muatturun rakaman tersebut.