Pages

Jumaat, 29 Ogos 2008

Madinah International University (MEDIU): Pengajian secara maya






(Gambar: Akh. Arafat dan Abd Latef. 2 Bintang MEDIU)

Universiti Al-Madinah jadikan Malaysia pusat penyebaran ilmu berteraskan Islam

UNIVERSITI
Al-Madinah Antarabangsa (Mediu) mempelopori pengajian Islam secara maya
sepenuhnya dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat penyebaran ilmu
pengetahuan ke seluruh dunia.

Rektornya, Prof Dr Muhammad
Khalifa Al-Tamimi, berkata bagi merealisasikan konsep pendidikan tanpa
sempadan itu, sistem pembelajaran dalam talian yang berkesan dan
lengkap dibangunkan sendiri bagi menyokong empat kaedah penyampaian
kursus iaitu kegiatan pengajaran, pengajian kendiri, sokongan
pembelajaran serta peperiksaan.

Muhammad Khalifa berkata,
sambutan terhadap program pengajian universiti itu memberangsangkan
dengan kira-kira 500 pelajar sedang mengikuti pengajian peringkat
ijazah Sains Islam serta Pengkhususan Bahasa dan Kesusasteraan Arab,
selain kursus bahasa Arab dan Inggeris sejak pengambilan dibuka pada
Februari lalu.

Katanya, jumlah pelajar dijangka terus meningkat
apabila bidang pengajian yang disampaikan dalam bahasa Inggeris dan
menerapkan konsep Islam seperti Teknologi Maklumat, Pentadbiran
Perniagaan dan Kewangan ditawarkan mulai tahun depan.

“Walaupun
berbeza entiti daripada Universiti Islam Madinah, Mediu mengambil nama
Madinah yang sinonim sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan dan ia
diasaskan sekumpulan cendekiawan Islam tersohor termasuk Pengerusi
Majlis Universiti merangkap Penasihat kepada penjaga Dua Masjid Suci
iaitu Masjidil Haram dan Nabawi, Putera Dr Bandar Salman Muhammad
al-Saud.

“Mediu
ditubuhkan di negara ini bukan untuk bersaing dengan universiti
tempatan atau mengembangkan perniagaan seperti universiti antarabangsa
yang membuka cawangan di sini.
(Gambar; Pelajar dari Bangkok sedang online)

“Kami
berazam menjadi pengeksport pendidikan dengan mempunyai 90 peratus
pelajar antarabangsa, sekali gus menyokong usaha Malaysia menjadi pusat
pendidikan antarabangsa kerana ia adalah negara termaju di kalangan
negara Islam serta memiliki sumber modal insan berkualiti.

“Kaedah
pembelajaran dalam talian yang dibangunkan universiti ini menggalakkan
pelajar berdikari dalam mendapatkan ilmu pengetahuan kerana perlu bijak
mengatur masa mengulang kaji serta melakukan rujukan tambahan
menggunakan pelbagai sumber terutama bahan pembelajaran dalam talian
dalam usaha menjadikan mereka graduan Islam berkemahiran tinggi,”
katanya ketika ditemui di ibu pejabat Mediu, di Plaza Masalam, Shah
Alam, Selangor.

Sementara itu, Timbalan Rektor Mediu, Prof Madya
Dr Ashraf Md Hashim, berkata kegiatan pengajaran yang membabitkan
kuliah dan tutorial dijalankan serentak kepada pelajar di beberapa
negara yang mengikuti program sama dengan menggunakan peralatan
interaktif di enam pusat pembelajaran termasuk di Singapura, Indonesia
dan Thailand.

“Walaupun menjalankan pengajian secara dalam
talian sepenuhnya, kami tetap mematuhi peraturan Agensi Kelayakan
Malaysia yang menetapkan bagi setiap subjek, pelajar perlu bersemuka
dengan pensyarah sebanyak dua kali dalam kuliah serta empat sesi dengan
tutor, pada setiap semester.

“Kuliah dan tutor menerusi
persidangan video dijalankan dengan menggunakan peralatan terkini dan
interaktif yang membolehkan komunikasi pelajar dengan tenaga pengajar
pada kedua-dua sesi itu berjalan lancar seumpama pelajar benar-benar
bersemuka dengan pensyarah secara fizikal.

“Sebagai contoh,
baru-baru ini sesi kuliah dijalankan secara serentak oleh pensyarah
dari Madinah kepada pelajar di pusat pembelajaran Kota Bharu, Kelantan;
Geylang, Singapura serta Bangkok, Thailand, malah pelajar berkesempatan
bertanya soalan dan mendapat penjelasan secara terus menerusi sesi
itu,” katanya.

Bagi pembelajaran kendiri, katanya, perisian
khusus e-Buku sebagai teks utama dibekalkan kepada pelajar dalam bentuk
cakera padat bagi memudahkan pelajar mengulangkaji pelajaran di mana
saja tanpa mengira masa.

Katanya, e-Buku mengandungi nota kuliah
bersuara serta kuiz ringkas bagi memastikan pelajar benar-benar faham
setiap topik terkandung dalam buku itu.

“e-Buku dibangunkan
sendiri pakar multimedia universiti menggunakan perisian khas serta
nota ahli akademik dari negara Timur Tengah termasuk pensyarah
Universiti Al-Azhar.

“Pelajar juga boleh merujuk bahan
penyelidikan dalam talian termasuk di e-Perpustakaan yang menyediakan
lebih 4,000 judul rujukan sebagai pusat rujukan bersepadu,” katanya.

Kegiatan
sokongan pembelajaran, katanya, termasuk e-Rundingan, e-Forum dan
Tugasan bagi menggalakkan perbincangan di kalangan pelajar, sementara
peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun diadakan sebagai
mekanisme utama penilaian prestasi pelajar.

INFO: Pusat Pembelajaran Mediu

Tingkat 11, Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor

Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan

Yogyakarta, Indonesia

Makassar, Indonesia

Assiqraw School, Bangkok, Thailand

Jamiyah Business School, Singapura.

Tiada ulasan: