Q:
Assalamualaikum ustaz.. Nak tanya sikit.. Kalau kita pakai minyak gamat/lintah atau minyak2 yg berasaskan binatang.. Boleh tak sembahyang.. Atau kena cuci dahulu baru boleh sembahyang.
...
A:
Wa'alaykum As-Salam ...
Apa yang difahami dari soalan ini ialah berkaitan jika seseorang menyapukan minyak gamat/lintah atau minyak jenis lain pada anggota wudhuk, adakah dia perlu hilangkan kesan minyak tersebut sebelum dia berwudhu untuk solat?
Jawapannya, bergantung kepada minyak tersebut, jika ia menghalang air dari sampai ke kulit, kesan minyak tersebut perlu dihilangkan terlebih dahulu (Fatwa Islamweb no. 1726).
Allah Ta'ala memerintahkan kita supaya berwudhuk sebelum solat, iaitu termasuk dengan membasuh beberapa anggota badan seperti muka, kedua tangan hingga ke siku dan kedua kaki hingga buku lali. Firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فاغْسِلُواْ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُواْ بِرُؤُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَينِ [المائدة: 6].
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhuklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali..."(Surah Al-Maidah:6)
Menurut tafsiran ulama, arahan membasuh anggota wudhuk tersebut, adalah dengan mengenakan air pada kulit. Jumhur ulama berdalilkan sabda Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam dalam hal ini:
فإذا وجدت الماء فأمسه جلدك
"Maka ketika kamu menjumpai air maka sapulah ia kepada kulitmu." (Sunan Abu Daud, no. 333; hadis dinilai sahih oleh Al-Albani)
Maka jika ada sesuatu yang menghalang air dari terkena kulit, maka ia perlulah dihilangkan terlebih dahulu (Fatwa Islamweb no. 29701).
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan