Pages

Ahad, 8 Februari 2015

Ihsan Ilahi Zahir

Penulis baru sahaja selesai membaca biografi seorang insan bernama Ihsan Ilahi Zahir pagi ini. Terasa kagum dengan jasa beliau lalu timbul hasrat untuk menulis tentang beliau agar pembaca sekalian juga boleh mengenali beliau. Sebenarnya, penulis sedang mencari bahan rujukan untuk menjawab soalan rakan-rakan tentang tasawwuf. Kebelakangan ini juga, penulis sering mendengar nama beliau disebut-sebut oleh Ustaz Halim Hassan apabila beliau menceritakan tentang tasawwuf. Nama Ihsan Ilahi Zahir ini sebenarnya sudah pun penulis kenali sejak menuntut di UIA lagi. Masih terbayang kaset rakaman tentang Syiah oleh beliau diedarkan ketika itu kepada mahasiswa di UIA. 

Beliau adalah anak kelahiran Pakistan yang lahir pada 1360H (1945) di Sialkot, Punjab, Pakistan. Beliau telah hafal Al-Quran ketika berumur 9 tahun. Beliau tamat persekolahan biasa di sana dan turut mempelajari ilmu hadis dari Syaikh 'Athoillah Hanif serta ilmu falsafah dan mantik dari Syaikh Syarifullah.

Beliau berpeluang menuntut ilmu di Universiti Islam Madinah dalam jurusan Syari'ah dan tamat belajar di sana pada tahun 1961M. Beliau berjaya mendapat tempat pertama dari kalangan pelajar lain ketika itu. Ketika di Madinah, antara guru beliau adalah Syaikh Al-Albani, Syaikh Muhammad Amin Asy-Syinqiti, Syaikh Abdul Aziz bin Baz, Syaikh Abdul Muhsin Al-'Abbaad. Menurut Dr Muhammad Luqman As-Salafi, "... apabila keluar dari kelas, beliau selalu mengikuti Syeikh Al-Albani untuk bertanya tentang hadis, mustolah hadis, rijal hadis dan berbincang bersamanya. Syaikh sentiasa mendengar dan menjawab soalan-soalan dari beliau dengan senang hati...".

Setelah itu, beliau telah pulang ke Pakistan dan berkhidmat di Fakulti Undang-Undang dan Politik, Universiti Punjab. Beliau juga telah dilantik sebagai Khatib di masjid besar Ahli Hadis di Lahore. 

Di Pakistan, beliau meneruskan pengajian hingga berhasil menamatkan pengajian peringkat Sarjana dalam 6 bidang berlainan iaitu bidang Syari'ah, Bahasa Arab, Bahasa Parsi, Bahasa Urdu, Politik dan Undang-Undang. Semuanya di Universiti Punjab kecuali Undang-Undang di Universiti Karachi. 

Beliau juga - rahimahullah - pernah menjawat jawatan ketua Kompleks Kajian Islam, ketua redaksi majalah Turjuman Al-Hadis, mudir majalah mingguan Ahli Hadis.

Beliau pernah ditawarkan kerja di Arab Saudi tetapi beliau menolaknya dengan mengemukakan firman Allah ta'ala: 

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ
Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah). (Surah At-Taubah:122)

Beliau sering menghubungi pendakwah-pendakwah dan ulama ketika musim haji untuk berbincang dengan mereka tentang isu-isu dan masalah-masalah yang dihadapi oleh umat Islam.

Beliau adalah seorang pengkaji yang hebat. Beliau banyak mengkaji dan menulis tentang kumpulan-kumpulan yang wujud dalam Islam. Antara kumpulan yang masyhur adalah Syi'ah Rofidhoh, Syi'ah Isma'iliyyah, Qadiani, Bahai, Brelwi dan Tasawuf.

Demi mendapatkan kajian yang berkualiti, beliau sanggup keluar negara untuk mendapatkan bahan rujukan yang tiada di negaranya. Antaranya, beliau telah ke Britain, Mesir, Iran untuk mendapatkan bahan rujukan tentang Qadiani, Bahai dan Syi'ah. Untuk bahan rujukan tentang Isma'iliyah pula, beliau telah ke Maghribi, Tunisia, Sepanyol dan Perancis.

Rujukan beliau juga dari pelbagai bahasa. Selain Bahasa Arab dan Urdu, ada juga buku berbahasa Inggeris dan Parsi. Semua ini, demi memastikan hasil kajian yang adil dan berkualiti dapat dimanfaatkan oleh umat Islam.

Dalam kajian beliau, lebih dari dua ratus bahan rujukan dirujuk. Beliau membaca tulisan-tulisan utama dalam bidangnya dan pergi ke sekolah-sekolah untuk memastikan rujukannya sahih, kata beliau, "... aku ke sana agar diyakini bahawa aku bukanlah dari golongan penipu".

Hasil kajian beliau akhirnya menjadi rujukan penting umat Islam. Kebenaran yang tersembunyi menjadi nyata dan kebatilan terbongkar. Akhirnya beliau dimusuhi oleh ramai yang mengakibatkan beliau terbunuh dalam satu insiden letupan bom di satu pertemuan antara ilmuan di Jam'iyyah Ahli Hadis, Lahore. Ketika itu, pada jam 11 malam, 23 Rajab 1407H, bom meletup ketika beliau sedang berucap lalu mencederakan 100 orang dari kira-kira 2000 yang hadir dan 14 daripadanya cedera parah. Beliau cedera parah.


Kehendak Allah, setelah diterbangkan ke Riyadh untuk dirawat di sana atas permintaan khas Syaikh Abdul Aziz bin Baz, beliau tidak dapat diselamatkan dan telah menghembus nafas terakhir pada 1 Sha'ban 1407H. Jenazah beliau telah disolatkan oleh Syaikh Abdul Aziz bin Baz lalu diterbangkan dan dikebumikan di perkuburan Baqi' di Madinah Munawwarah.

Setelah mengetahui kisah insan bernama Ihsan Ilahi Zahir ini. Penulis merasakan bahawa hasil kajian beliau mempunyai nilai yang sangat tinggi yang perlu ada di rak buku rumah pembaca sekalian.


Abdullatef,
Chemomoi,
3.36 petang
8 Feb 2015