Pages

Ahad, 19 September 2010

Menonton Orang Lain Bersukan

Bismillahirrahmaanirrahim...

Saya tertarik dengan pandangan Kapten Hafiz Firdaus tentang "menonton orang lain bersukan" dan "menonton TV saban hari" dalam tulisannya bertajuk Wal ‘Ashr: Pengurusan Masa Dalam IslamBerikut adalah tulisan beliau yang saya maksudkan:

Saya sebenarnya amat hairan memerhatikan gelagat orang yang menonton orang lain bersukan. Bukan sekadar menonton, mereka menyokong pasukan yang ditonton dengan penuh jiwa dan raga. Mereka menunggu perlawanan bermula dengan penuh debaran. Mereka memerhati perlawanan dengan penuh kekhusyukan, kekhusyukan yang mengalahkan semua nilai khusyuk solatnya dalam sehari. Jika pasukan yang disokong menang mereka melompat kegembiraan. Jika sebaliknya, mereka tunduk kesedihan mengalirkan air mata.

      Kepada para penonton seumpama perenggan di atas, saya ingin bertanya beberapa soalan mudah. Jika anda sakit, adakah pasukan yang anda sokong datang untuk menziarahi anda? Jika anda menghadapi kesempitan kewangan, adakah pasukan yang anda sokong memberikan sumbangan atau pinjaman? Jika anda gagal dalam kehidupan, adakah pasukan yang anda sokong akan membantu anda mencapai kejayaan? Saya yakin jawapannya tidak. Oleh itu kenapakah anda menyerahkan segala jiwa dan raga, termasuk masa anda, kepada satu pasukan yang tidak kisah langsung tentang anda?

      Ada pun menonton TV, maka tontonlah dengan manhaj fokus dan prioriti, iaitu satu dua rancangan yang memberi manfaat kepada pembangunan minda. Percayalah, kebanyakan pemilik syarikat siaran TV tidak menonton apa yang disiarkan oleh syarikatnya melainkan beberapa rancangan yang terpilih. Mereka tahu, jika mereka menonton TV saban hari, mereka tidak akan menjadi individu berjaya yang dapat memiliki sebuah syarikat siaran TV.


Mudah-mudahan ia bermanfaat untuk kita semua.

Khamis, 16 September 2010

Berdakwah Melalui Penulisan Efektif

Bismillahi rrahmani rrahim 

Muqaddimah
Menulis adalah satu metod komunikasi yang paling tidak efektif. Demikianlah ujar Ustaz Kapten Hafiz Firdaus dalam bukunya yang bertajuk "Berdakwah Melalui Penulisan Efektif". Jadi, bagaimana caranya jika kita ingin juga menulis dan menjadikan tulisan kita itu tulisan yang efektif supaya dakwah yang kita ingin terapkan melalui tulisan kita tersebut membuahkan hasil bagi pembaca-pembacanya? Persoalan inilah cuba dijawab oleh penulis ini di dalam buku tersebut.
 
Fizikal buku
Buku setebal lebih kurang 100 muka surat ini ditulis dengan format senarai. Poin-poin penting disenaraikan menggunakan format numbering dan bullets. Saiz font yang dipilih adalah saiz font yang sederhana dan menggunakan 1.5 line spacing.
 
Isi
Penulis berusaha berkongsi tips dan pengalaman beliau dengan tulisan yang ringkas dan disertakan dengan contoh-contoh praktikal. Secara umumnya terdapat 3 perkara yang boleh dipelajari oleh pembaca melalui buku ini:
  1. Cara menulis buku
  2. Cara berdakwah melalui penulisan
  3. Cara menulis secara efektif

Buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian merangkumi fasa sebelum menulis, semasa menulis dan selepas menulis. Ia dimulai (di bahagian pengenalan) dengan galakan mengajarkan kebaikan dan diakhiri (di bahagian penutup) dengan Jangan menulis al-Quran”.
 
Poin-poin penting yang ingin dikongsi
Antara perkara-perkara menarik yang disentuh oleh penulis dalam buku tersebut ialah:
  1. Galakan agar menulis buku tanpa mengambil royalti supaya buku boleh diterbitkan dan dijual dengan harga yang lebih murah.
  2. Anjuran agar penulis menggunakan perisian yang tulen agar setiap yang ditulis akan mendapat keberkatan.
  3. Menulis boleh menambah ilmu melalui kajian yang dijalankan sebelum menulis.
  4. Membeli kitab adalah satu pelaburan.
  5. Pemilihan format dan gaya penulisan yang sesuai.
  6. Komen tentang kaedah membaca “Speed Reading.
  7. Kepentingan bersikap jujur dalam memilih subjek dan menyatakan rujukan.
  8. Pentingnya perancangan dalam menulis buku.
 
Penutup
Pendek kata, buku yang ringkas dan padat ini sedikit sebanyak telah banyak mengajar saya untuk menulis dengan lebih efektif. Saya mencadangkan kepada rakan-rakan tullaab al-ilm (penuntut ilmu) agar membaca buku nipis ini untuk menambah skill atau memperbaiki teknik penulisan kita. InshaAllah ia bermanfaat untuk aktiviti dakwah kita. Saya pasti ada ramai antara kita yang diberi peluang atau kepercayaan untuk menulis samada artikel atau buku tetapi gagal menggunakan peluang tersebut sebaiknya. Kadangkala bukan kerana tiada keinginan, tetapi tidak tahu caranya.  
 
Baca buku secara online:
PDF | HTML