Bismillahi rrahmani rrahim
Muqaddimah
Menulis adalah satu metod komunikasi yang paling tidak efektif. Demikianlah ujar Ustaz Kapten Hafiz Firdaus dalam bukunya yang bertajuk "Berdakwah Melalui Penulisan Efektif". Jadi, bagaimana caranya jika kita ingin juga menulis dan menjadikan tulisan kita itu tulisan yang efektif supaya dakwah yang kita ingin terapkan melalui tulisan kita tersebut membuahkan hasil bagi pembaca-pembacanya? Persoalan inilah cuba dijawab oleh penulis ini di dalam buku tersebut.
Fizikal buku
Buku setebal lebih kurang 100 muka surat ini ditulis dengan format senarai. Poin-poin penting disenaraikan menggunakan format numbering dan bullets. Saiz font yang dipilih adalah saiz font yang sederhana dan menggunakan 1.5 line spacing.
Isi
Penulis berusaha berkongsi tips dan pengalaman beliau dengan tulisan yang ringkas dan disertakan dengan contoh-contoh praktikal. Secara umumnya terdapat 3 perkara yang boleh dipelajari oleh pembaca melalui buku ini:
- Cara menulis buku
- Cara berdakwah melalui penulisan
- Cara menulis secara efektif
Buku ini dibahagikan kepada 5 bahagian merangkumi fasa sebelum menulis, semasa menulis dan selepas menulis. Ia dimulai (di bahagian pengenalan) dengan galakan mengajarkan kebaikan dan diakhiri (di bahagian penutup) dengan “Jangan menulis al-Quran”.
Poin-poin penting yang ingin dikongsi
Antara perkara-perkara menarik yang disentuh oleh penulis dalam buku tersebut ialah:
- Galakan agar menulis buku tanpa mengambil royalti supaya buku boleh diterbitkan dan dijual dengan harga yang lebih murah.
- Anjuran agar penulis menggunakan perisian yang tulen agar setiap yang ditulis akan mendapat keberkatan.
- Menulis boleh menambah ilmu melalui kajian yang dijalankan sebelum menulis.
- Membeli kitab adalah satu pelaburan.
- Pemilihan format dan gaya penulisan yang sesuai.
- Komen tentang kaedah membaca “Speed Reading”.
- Kepentingan bersikap jujur dalam memilih subjek dan menyatakan rujukan.
- Pentingnya perancangan dalam menulis buku.
Penutup
Pendek kata, buku yang ringkas dan padat ini sedikit sebanyak telah banyak mengajar saya untuk menulis dengan lebih efektif. Saya mencadangkan kepada rakan-rakan tullaab al-ilm (penuntut ilmu) agar membaca buku nipis ini untuk menambah skill atau memperbaiki teknik penulisan kita. InshaAllah ia bermanfaat untuk aktiviti dakwah kita. Saya pasti ada ramai antara kita yang diberi peluang atau kepercayaan untuk menulis samada artikel atau buku tetapi gagal menggunakan peluang tersebut sebaiknya. Kadangkala bukan kerana tiada keinginan, tetapi tidak tahu caranya.
Baca buku secara online:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan