Pages

Rabu, 17 Ogos 2011

Sifat Isteri Solehah Waspada Dengan Tipudaya Syaitan


Alhamdulillah, syukur atas nikmat-nikmat yang dinikmati hingga saat ini.

Kali ini, penulis ingin berkongsi dengan pembaca sekalian satu dari sifat isteri solehah seperti yang dikongsikan oleh Syaikh Prof. DR. Abdur Rozzaq bin Abdul Muhsin Al Badr hafidzohumallah dalam buku kecilnya Sifat Az-Zawjah As-Solehah.


Tentang buku
Buku ini, walaupun kecil dan nipis (tak sampai 50 mukasurat), mengandungi panduan berguna dan praktikal bagi semua golongan masyarakat yang ingin melahirkan isteri-isteri solehah. Jika anda seorang bapa atau ibu kepada anak perempuan, guru yang mengajar murid-murid atau pelajar perempuan, ketua kampung dan sesiapa sahaja yang bertanggungjawab secara langsung dan tidak langsung mendidik seorang perempuan, maka bacalah buku ini.


Isteri solehah berwaspada dari kejahatan syaitan
Salah satu sifat yang perlu disifati oleh seorang isteri ialah sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga dari kejahatan syaitan. Kerja penting syaitan dalam kehidupan ini ialah merosakkan semua kebaikan-kebaikan yang ada. Untuk mencapai matlamat tersebut, setiap hari ada utusan dan tentera yang dihantar kepada kita demi untuk menyempurnakan tugasan tersebut. 

Dengan sebab itu, setiap hari muncul kerosakan-kerosakan dari segi akhlak, perhubungan antara ibubapa dan adik beradik, perhubungan kejiranan dan kawan-kawan, perhubungan antara suami isteri dan sebagainya.

Singgahsana iblis
Mari kita teliti sebuah hadith dari kitab Sahih Muslim ini, dari Jabir radhiyallahu ‘anhu dari Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

إِنَّ إِبْلِيْسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ
Sesungguhnya Iblis meletakkan singgahsananya di atas air (laut) kemudian ia mengutus bala tenteranya...

Maksudnya: iblis menghantar tenteranya untuk membuat kerosakan.

فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً
...maka yang paling dekat dengannya adalah yang paling besar fitnahnya.

Maksudnya: yang paling rapat dengan iblis adalah yang paling hebat mengacau atau membuat kerosakan pada manusia.

يَجِيْءُ أَحَدُهُمْ

...Datanglah salah seorang dari bala tenteranya...

Maksudnya: salah seorang dari tentera yang dihantar tersebut datang kepada iblis.

فَيَقُوْلُ فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا فَيَقُوْلُ مَا صَنَعْتَ شَيْئًا قَالَ ثُمَّ يَجِيْءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُوْلُ مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ قَالَ فَيُدْنِيْهِ مِنْهُ
...lalu berkata, “Aku telah melakukan begini dan begitu”. Iblis berkata, “Engkau sama sekali tidak melakukan sesuatupun”. Kemudian datang yang lain lagi dan berkata, “Aku tidak meninggalkannya (orang yang ia goda -pent) hingga aku berjaya memisahkan antara dia dan isterinya. Maka Iblis pun mendekatinya...

Maksudnya: Iblis mendekati syaitan yang berjaya memisahkan sepasang suami isteri tersebut.

وَيَقُوْلُ نِعْمَ أَنْتَ
...dan berkata, “Sungguh hebat engkau”
[HR Muslim IV/2167 no 2813]

Menurut Al-A'masy (seorang ulama), syaitan selalu bersama (rapat) dengan tenteranya yang berjaya memisahkan antara seorang isteri dengan suaminya.

Maka para isteri dan juga suami, perlu sedar akan hal ini, berwaspada serta sentiasa berjaga-jaga dan mencari jalan untuk menghadapai musuh yang tidak boleh dilihat dengan mata dan boleh bergerak dalam tubuh kita melalui salur darah dan urat-urat kita. Musuh kita ini sentiasa membuat perancangan untuk merosakkan kita, menggoda, menghasut, menimbulkan syak wasangka dan seumpamanya demi merosakkan perhubungan dan menimbulkan kebencian dalam hati kita tanpa kita sedari.

Perisai muslim
Dengan sebab itu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam telah mengajar kita bacaan-bacaan, sebagai perisai, ketika masuk ke rumah, ketika bersama antara suami isteri, ketika makan, ketika marah dan dalam semua keadaan yang diperlukan demi melindungi diri kita dari kerosakan yang disebabkan oleh musuh kita tersebut.

Sumber: Digital Mukmin
Selain itu, kita perlu membenteng diri kita dengan membaca zikir-zikir dan doa-doa seperti yang diajar oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, membaca al-Quran dan sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah Azza Wa Jalla serta menjaga ibadah kita.

Justeru, antara sifat yang perlu ada pada seorang isteri solehah ialah berwaspada dan berhati-hati dari tipudaya, hasutan, godaan dan bisikan-bisikan yang boleh merosakkan perhubungannya dengan suami dan memusnahkan rumahtangganya.

Telah banyak rumahtangga dan keluarga yang berpecah-belah yang tak boleh diperbaiki lagi akibat mengikut telunjuk dan bisikan syaitan. Alangkah bagusnya, jika setiap suami isteri memohon perlindungan Allah dari hasutan syaitan dan menghindari godaan-godaannya agar perpisahan tersebut tidak berlaku.

Kerana taatkan syaitan, rumahtangga berantakan sedangkan perosak dari kalangan syaitan ini pergi bertemu iblis untuk mendapatkan ganjarannya iaitu "dapat rapat dengan iblis" hasil kejayaannya memisahkan isteri dari suaminya. 


Pengalaman syaitan
Di sini perlu kita sedar bahawa musuh kita ini ialah musuh yang sangat berpengalaman. Kita sangat mengkagumi seseorang yang mempunyai pengalaman berpuluh-tahun dalam sesuatu bidang. Kita juga perlu kagum dengan pengalaman musuh kita ini. Iblis mempunyai pengalaman ribuan tahun, bukan hanya puluhan tahun, sejak zaman awal ciptaan manusia lagi iblis telah melakukan perkara ini. Lebih dari jutaan bilionan manusia yang telah tewas.  Jadi, sangat perlu bagi rumahtangga muslim untuk memelihara dan melindungi diri mereka dari menjadi mangsa syaitan yang seterusnya.


Semoga anda telah belajar sesuatu dari tulisan ini dan kongsikanlah ia dengan rakan taulan anda. Semoga Allah memberi petunjuk kepada kita dan memelihara kita dari kejahatan syaitan. Amin.

[Sila lawat laman web Dr Abu Anas untuk muatturun rakaman mp3 pengajian buku himpunan doa dan zikir Perisai Muslim. Jika anda menghadapi kesukaran untuk muatturun, tinggalkan alamat atau email di bahagian “comment”, inshaAllah saya poskan CD MP3 nya, PERCUMA]

Rujukan:
  1. Sifat al-Zawjah al-Solehah oleh Prof Dr Abdurrozzaq Al-Badr
  2. Suami Sejati ( bag 16), "Kesabaran Karena Allah Mendatangkan Banyak Kebaikan" oleh Ustaz Firanda




Jumaat, 12 Ogos 2011

Luruskan saf

Kata Anas bin Malik , "dulu setiap kami (melekatkan) bahu kami pada bahu kawan disebelah kami dan kaki kami pada kaki kawan tersebut"