شَعَائِرِ اللَّهِ
Syiar (lambang, simbol, tanda, upacara) ugama Allah
Istilah ini boleh dijumpai dalam 4 ayat yang berbeza dalam Al-Qur'an, iaitu:
- Surah Al-Baqarah: 158
- Surah Al-Ma'idah: 2
- Surah Al-Hajj: 32
- Surah Al-Hajj: 36
Semua ayat ini ada kaitan dengan ibadah haji. Agaknya inilah sebabnya dalam Al-Mu'jam Kalimaat Al-Quran, شعائر الله diberi maksud "tanda agamanya dalam haji dan umrah". Manakala menurut Mu'jam Mustalahat Fiqhiyyah pula, kata الشعائر ialah kata jamak kepada شعيرة yang bermaksud "apa yang digalakkan oleh syarak kepadanya dan diperintahkan untuk mendirikannya". (Al-Maany.com)
Dalam tafsiran surah Al-Baqarah: 158, ada kisah menarik tentangnya. Mari kita lihat terjemahannya seperti yang diterjemah oleh Syeikh Abdullah Basmieh:
إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ مِن شَعَائِرِ اللَّهِ ۖ فَمَنْ حَجَّ الْبَيْتَ أَوِ اعْتَمَرَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِ أَن يَطَّوَّفَ بِهِمَا ۚ وَمَن تَطَوَّعَ خَيْرًا فَإِنَّ اللَّهَ شَاكِرٌ عَلِيمٌ
Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) ugama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.
Kesimpulan dari tafsiran Ibn 'Ashur, ayat ini turun sebagai menjawab isu muslimin Ansar yang menyangka bahawa amalan saie di Bukit Safa dan Marwah dalam ibadah haji adalah dari amalan jahiliyah, lalu turunlah ayat ini menerangkan bahawa ia sebenarnya adalah satu dari lambang atau upacara Agama Allah, bukan amalan jahiliyyah.
عَنْ عَاصِمِ بْنِ سُلَيْمَانَ، قَالَ سَأَلْتُ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ الصَّفَا، وَالْمَرْوَةِ،. فَقَالَ كُنَّا نَرَى أَنَّهُمَا مِنْ أَمْرِ الْجَاهِلِيَّةِ، فَلَمَّا كَانَ الإِسْلاَمُ أَمْسَكْنَا عَنْهُمَا، فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى {إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ } إِلَى قَوْلِهِ {أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا}.
Dari 'Asim bin Sulaiman, dia telah berkata, "Aku telah bertanya Anas bin Malik -radhiallahu 'anhu- tentang Safa dan Marwah, lalu dia (Anas) telah berkata, "Kami berpendapat bahawa keduanya dari amalan jahiliyyah, maka apabila telah Islam, kami menahan diri kami dari keduanya, lalu Allah Ta'ala menurunkan {إِنَّ الصَّفَا وَالْمَرْوَةَ } hingga firman-Nya {أَنْ يَطَّوَّفَ بِهِمَا}.Pada zaman Nabi Ibrahim, amalan ini telah pun wujud dan ia telahpun diamalkan oleh Nabi Ibrahim 'Alaihi As-Salam dan Nabi Isma'il. Namun setelah berlalu tempoh yang terlalu lama, akhirnya ketika Makkah dalam zaman Jahiliyyah, ada berhala diletakkan di Bukit Safa dan Marwah. Sebab itulah ada sahabat dari golongan Ansar meninggalkan dari beramal dengan amalan ini sehinggalah turunnya ayat 158 dari surah Al-Baqarah seperti di atas.
Dari kisah ini, kita pelajari bahawa sahabat Nabi sangat berhati-hati dalam beramal ibadah. Mereka meninggalkan ibadah selagi ia belum dibuktikan bahawa ia adalah ibadah yang disyariatkan. Semoga Allah menjadikan kita juga seorang yang cermat dan berhati-hati dalam beramal supaya amalan kita diterima oleh-Nya.