Sentiasalah berfikiran positif. Itulah isi nasihat Dr Sofiane ketika memberi ucapan dalam sebuah majlis di MEDIU. Beliau menceritakan kisah ucapan Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam kepada seorang yang sakit dengan ucapan طهورا، ان شاء الله (InshaAllah, kamu akan disucikan dari dosa-dosamu melalui sakit yang kamu rasa).
Dalam hadis tersebut kata beliau, mengandungi pelajaran bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sentiasa mengajar kita untuk bersikap dan berfikiran positif. Biasanya, sakit dikaitkan dengan perkara negatif. Kita tahu, tiada manusia normal yang suka sakit dan perkara-perkara negatif lain seperti, kerugian, kesusahan, kesedihan dan seumpamanya.
Namun lain halnya bagi Muslim. Mereka diajar untuk melihat aspek positif dalam setiap kesusahan, musibah, kesakitan, kesedihan yang menimpanya. Hadis lain yang menunjukkan kita kepada hal ini ialah beberapa hadis berikut:
عجبا لأمر المؤمن إن أمره كله خير ، وليس ذاك لأحد إلا للمؤمن ؛ إن أصابته سرّاء شكر ؛ فكان خيراً له ، وإن أصابته ضرّاء صبر ؛ فكان خيراً له
"Sungguh menakjubkan urusan orang Mukmin, sesungguhnya semua urusannya merupakan kebaikan, dan hal ini tidak terjadi kecuali bagi orang Mukmn. Jika mendapat kegembiraan, maka dia bersyukur dan itu merupakan kebaikan baginya, dan jika mendapat kesusahan, maka dia bersabar dan itu merupakan kebaikan baginya." hadis riwayat Muslim.
ما من مسلم يصيبه أذى من مرض فما سواه إلا حط الله به سيئاته كما تحط الشجرة ورقها
Tidaklah seorang Muslim tertimpa suatu penyakit atau sejenisnya, melainkan Allah akan menggugurkan dosa-dosanya bersamanya, seperti pohon yang menggugurkan daun-daunnya. hadis riwayat al-Bukhari.
ما يصيب المؤمن من وصب ولا نصب ولا سقم ولا حزنحتى الهم يُهَمه إلا كفر به من سيئاته
Tidaklah seorang mukmin ditimpa rasa sakit yang terus menerus, kepayahan, penyakit, kesedihan bahkan sampai kesusahan yang menyusahkannya melainkan akan dihapuskan dengannya dosa-dosanya. Hadis riwayat Muslim.
Ada banyak lagi ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang mengajar kita supaya sentiasa berfikiran positif. Antaranya, ada diterangkan dalam buku kecil tulisan Ustaz Yazid bin Abdul Qadir Jawas bertajuk Hikmah di Balik Musibah dan Ruqyah Syar’iyyah. Hadis-hadis di atas saya rujuk dari buku tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan