Pages

Jumaat, 7 Ogos 2015

Doakan Simati Sebaik Sahaja Dipejamkan Matanya



Cara Membantu Simati Secara Sunnah

No. 1 - Doakan Simati Sebaik Sahaja Dipejamkan Matanya

 [versi kemaskini]

Jika kita sedang berada bersama simati ketika dia menghembuskan nafasnya yang terakhir, antara usaha untuk membantu seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam ialah dengan mendoakan beliau.

Baginda menyebut nama simati. Baginda memohon kepada Allah supaya simati diampunkan, ditinggikan darjatnya, diganti untuk keluarga yang ditinggalkan, diluaskan kuburnya dan diberi cahaya didalam kubur. Doa baginda,

اَللّهُمَّ اغْفِرْ لأَبِي سَلَمَةَ،
Ya Allah, berilah ampunan untuk Abu Salamah,
وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّيْنَ،
tinggikanlah darjatnya di tengah golongan yang mendapat petunjuk,
وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِيْنَ،
jadikanlah (seorang pengganti) untuknya untuk mengurus keluarga yang ditinggalkannya
وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ،
ampunilah kami dan dia wahai Rabb semesta alam,
وَافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ وَنَوِّرْ لَهُ فِيْهِ.
serta luaskanlah untuknya dalam kuburnya dan berilah cahaya untuknya di dalamnya

Ianya ditunjukkan dalam hadis berikut. Ummu Salamah Radhiallahu ‘anha seorang sahabat dari kalangan wanita (kemudian menjadi isteri Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam) menceritakan saat kematian suaminya Abu Salamah,

دَخَلَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم عَلَى أَبِي سَلَمَةَ وَقَدْ شَقَّ بَصَرُهُ، فَأَغْمَضَهُ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّ الرُّوْحَ إِذَا قُبِضَ، تَبِعَهُ الْبَصَرُ. فَضَجَّ نَاسٌ مِنْ أَهْلِهِ. فَقَالَ: لاَ تَدْعُوْا عَلَى أَنْفُسِكُمْ إِلاَّ بِخَيْرٍ، فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ يُؤَمِّنُوْنَ عَلَى مَا تَقُوْلُوْنَ. ثُمَّ قَالَ: اَللّهُمَّ اغْفِرْ لأَبِي سَلَمَةَ، وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّيْنَ، وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِيْنَ، وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ، وَافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ وَنَوِّرْ لَهُ فِيْهِ.

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam masuk ke rumah Abu Salamah (ketika hari beliau meninggal dunia), ketikamana matanya masih terbuka, lalu baginda memejamkan matanya. Kemudian baginda mengatakan, “Sesungguhnya ruh apabila dicabut, maka mata mengikutinya.” Lalu beberapa orang dari ahli keluarganya menangisinya, maka baginda bersabda, “Janganlah berdoa untuk diri kalian kecuali dengan kebaikan. Ini adalah kerana, para malaikat akan mengaminkan apa yang kalian ucapkan.” Kemudian baginda mengucapkan, “Ya Allah, berilah ampunan untuk Abu Salamah, tinggikanlah darjatnya di tengah golongan yang mendapat petunjuk, jadikanlah (seorang pengganti) untuknya untuk mengurus keluarga yang ditinggalkannya, ampunilah kami dan dia wahai Rabb semesta alam, serta luaskanlah untuknya dalam kuburnya dan berilah cahaya untuknya di dalamnya.”[1]

Moga kita diberi taufiq untuk beramal dengan amalan ini dan juga didoakan dengan doa ini ketika tiba ajal kita nanti. Amin.


[1] Sahih Muslim, no. 920; Sunan Abi Daud, no. 3118; Sahih Ibn Hibban, no. 7041

Tiada ulasan: