Pages

Rabu, 16 November 2011

Berapa Nilai Royalti Kitab Sahih Bukhari ?


Bacalah
"Iqra... iqra... iqra..." demikianlah pesan Dato' Hussamuddin Yaacob kepada kami ketika beliau diminta berkongsi pengalaman dengan peserta Bengkel Penulisan Kreatif AFN & Karangkraf 2011. Saya teringat pada buku tulisan Dr Raghib As-Sirjani bertajuk Spiritual Reading: Hidup Lebih Bermakna Dengan Membaca. Melalui buku tersebut saya mendapat pemahaman baru tentang arahan membaca dalam Al-Quran. Membaca adalah satu kewajipan bagi kita. Ia bukan pilihan. Di waktu awal turunnya wahyu, Nabi Muhammad Sallallahu'alaihi wasallam telah diperintahkan untuk membaca. Pernahkah anda terfikir, kenapa wahyu pertama turun dengan perintah membaca? Sekarang cuba anda fikirkan tentangnya. Setelah peristiwa tersebut, berlaku pula peristiwa perang Badar. Menariknya, tawanan perang dikenakan [hukuman] mengajar membaca dan menulis kepada 10 orang Islam, sedangkan pada waktu itu, jika difikirkan logiknya, ada perkara yang lebih penting dari itu seperti wang.
Jadi, benarlah saranan Dato' Hussamuddin tersebut. Katanya lagi, dengan banyak membaca, kita boleh berubah. Buktinya adalah diri beliau sendiri yang sejak kecil telah dilatih oleh ayahnya dengan banyak membaca akhbar, majalah dan buku yang dijual di kedai ayahnya. "Baca buku sampai habis, kemudian bila selesai, jual" begitu pesan ayahnya. Hasilnya, kini, Karangkraf telah menjadi Syarikat Media No 1 di Malaysia.

Jadilah pembaca yang baik untuk menjadi penulis yang baik
"Sebelum anda menulis, bacalah dahulu, jadilah pembaca yang baik supaya anda boleh menjadi penulis yang baik," kata Dato Hussamuddin. Puan Sri Diah pula berkata "bila membaca, bacalah juga cara penulis menulis,” kita boleh belajar gaya penulisan dari buku yang kita baca. Hal ini dipersetujui oleh Kapten Hafiz Firdaus, seperti yang dinyatakan dalam buku beliau Berdakwah Melalui Penulisan Efektif. Bagaimana pun, seperti cerita Puan Sri Diah, jika kita mampu membaca dengan baik, tidak semestinya kita boleh menjadi seorang penulis. Menurut HAMKA, seperti yang dikongsikan oleh Zamri Mohamad dalam bukunya, Tip Menjadi Penulis Bestseller, “membaca dan menulis bergerak serentak”. Bagi saya, mungkin selain dari kemahiran membaca kita, juga perlu belajar cara menulis dan selalu berlatih untuk meningkatkan kemahiran menulis kita dari semasa ke semasa.

Motif dan motivasi menulis
Bayangkan kitab Sahih Bukhari karya Imam Al-Bukhari, sehingga hari ini, semua mazhab bersepakat menerimanya sebagai rujukan hadis” Ujar Dr Zaharudin dalam pembentangannya. Setiap buku atau artikel ada kumpulan sasarnya. Boleh jadi sesebuah buku itu hanya dibaca oleh golongan akademik. Boleh jadi juga ia hanya dibaca oleh satu mazhab atau golongan berfahaman tertentu sahaja. Jadi, pulangan royalti atau pahala terhad bilangannya. Dengan itu, cabaran kita, cubalah sasarkan karya yang boleh menjadi rujukan untuk semua golongan dan yang sesuai dengan semua zaman seperti kitab Sahih Bukhari. Bayangkan jika kita mendapat pahala ribuan tahun hasil penulisan tersebut.

Pembaca
Tuan-puan tau tak, majalah karangkraf yang mana paling laris dalam pasaran?” Tanya Tuan Ahmad Yani kepada kami. Ramai yang meneka, kemudian beliau menjawab, “Majalah Wanita”. Kenyataan ini mengambarkan bahawa pembaca wanita lebih ramai dari pembaca lelaki.
Walaupun saya banyak menulis dalam majalah, saya tak boleh baca majalah. Saya lebih suka membaca kitab” demikian lebih kurang kenyataan Dr Zaharuddin.
Sekarang ni saya banyak membaca akhbar” ujar Dato Hussamuddin. Beliau kemudian menegaskan “akhbar sekarang perlu berubah, Newspaper perlu menjadi Viewspaper”.
...
Demikianlah sedikit perkongsian maklumat dari penulis setelah menghadiri Bengkel Penulisan Kreatif Ke 2 Anjuran Bersama Al-Fikrah.net dan Kumpulan Karangkraf yang diadakan di Kompleks Karangkraf Shah Alam pada Sabtu 10 November 2011. Berita baiknya, bengkel ini telah dirakamkan oleh TV Sunnah dan anda boleh menontonnya pada link berikut:
  1. AFN.net - BPK2 - Jihad Penulisan - En Ahmad Yani

  2. AFN.net - BPK2 - Teknik Penulisan Blog – UZAR

  3. AFN.net - BPK2 - Penulisan Skrip 1 - En Yusof Mohamed

  4. AFN.net -BPK2 - Perkongsian Pengalaman - Dato Hishamuddin Yaacob

  5. AFN.net - BPK2 - Penulisan Skrip 2 - En Yusof Mohamed

  6. AFN.net - BPK2 - Penulisan Buku - Pn Sri Diah