Bacalah
"Iqra...
iqra... iqra..." demikianlah pesan Dato' Hussamuddin Yaacob
kepada kami ketika beliau diminta berkongsi pengalaman dengan peserta
Bengkel Penulisan Kreatif AFN & Karangkraf 2011. Saya teringat
pada buku tulisan Dr Raghib As-Sirjani bertajuk Spiritual Reading:
Hidup Lebih Bermakna Dengan Membaca. Melalui buku tersebut saya
mendapat pemahaman baru tentang arahan membaca dalam Al-Quran.
Membaca adalah satu kewajipan bagi kita. Ia bukan pilihan. Di waktu
awal turunnya wahyu, Nabi Muhammad Sallallahu'alaihi wasallam telah
diperintahkan untuk membaca. Pernahkah anda terfikir, kenapa wahyu
pertama turun dengan perintah membaca? Sekarang cuba anda fikirkan
tentangnya. Setelah peristiwa tersebut, berlaku pula peristiwa perang
Badar. Menariknya, tawanan perang dikenakan [hukuman] mengajar
membaca dan menulis kepada 10 orang Islam, sedangkan pada waktu itu,
jika difikirkan logiknya, ada perkara yang lebih penting dari itu
seperti wang.
Jadi, benarlah
saranan Dato' Hussamuddin tersebut. Katanya lagi, dengan banyak
membaca, kita boleh berubah. Buktinya adalah diri beliau sendiri yang
sejak kecil telah dilatih oleh ayahnya dengan banyak membaca akhbar,
majalah dan buku yang dijual di kedai ayahnya. "Baca buku sampai
habis, kemudian bila selesai, jual" begitu pesan ayahnya.
Hasilnya, kini, Karangkraf telah menjadi Syarikat Media No 1 di
Malaysia.
Jadilah pembaca yang baik untuk
menjadi penulis yang baik
"Sebelum
anda menulis, bacalah dahulu, jadilah pembaca yang baik supaya anda
boleh menjadi penulis yang baik," kata Dato Hussamuddin. Puan
Sri Diah pula berkata "bila membaca, bacalah juga cara penulis
menulis,” kita boleh belajar gaya penulisan dari buku yang kita
baca. Hal ini dipersetujui oleh Kapten Hafiz Firdaus, seperti yang
dinyatakan dalam buku beliau Berdakwah
Melalui Penulisan Efektif. Bagaimana pun, seperti cerita Puan Sri
Diah, jika kita mampu membaca dengan baik, tidak semestinya kita
boleh menjadi seorang penulis. Menurut HAMKA, seperti yang
dikongsikan oleh Zamri Mohamad dalam bukunya, Tip Menjadi Penulis
Bestseller, “membaca dan menulis bergerak serentak”. Bagi saya,
mungkin selain dari kemahiran membaca kita, juga perlu belajar cara
menulis dan selalu berlatih untuk meningkatkan kemahiran menulis kita
dari semasa ke semasa.
Motif dan
motivasi menulis
“Bayangkan
kitab Sahih Bukhari karya Imam Al-Bukhari, sehingga hari ini, semua
mazhab bersepakat menerimanya sebagai rujukan hadis” Ujar Dr
Zaharudin dalam pembentangannya. Setiap buku atau artikel ada
kumpulan sasarnya. Boleh jadi sesebuah buku itu hanya dibaca oleh
golongan akademik. Boleh jadi juga ia hanya dibaca oleh satu mazhab
atau golongan berfahaman tertentu sahaja. Jadi, pulangan royalti atau
pahala terhad bilangannya. Dengan itu, cabaran kita, cubalah sasarkan
karya yang boleh menjadi rujukan untuk semua golongan dan yang sesuai
dengan semua zaman seperti kitab Sahih Bukhari. Bayangkan jika kita
mendapat pahala ribuan tahun hasil penulisan tersebut.
Pembaca
“Tuan-puan
tau tak, majalah karangkraf yang mana paling laris dalam pasaran?”
Tanya Tuan Ahmad Yani kepada kami. Ramai yang meneka, kemudian beliau
menjawab, “Majalah Wanita”. Kenyataan ini mengambarkan bahawa
pembaca wanita lebih ramai dari pembaca lelaki.
“Walaupun
saya banyak menulis dalam majalah, saya tak boleh baca majalah. Saya
lebih suka membaca kitab” demikian lebih kurang kenyataan Dr
Zaharuddin.
“Sekarang ni
saya banyak membaca akhbar” ujar Dato Hussamuddin. Beliau kemudian
menegaskan “akhbar sekarang perlu berubah, Newspaper perlu menjadi
Viewspaper”.
...
Demikianlah
sedikit perkongsian maklumat dari penulis setelah menghadiri Bengkel
Penulisan Kreatif Ke 2 Anjuran Bersama Al-Fikrah.net dan Kumpulan
Karangkraf yang diadakan di Kompleks Karangkraf Shah Alam pada Sabtu
10 November 2011. Berita
baiknya, bengkel ini telah dirakamkan oleh TV
Sunnah dan anda boleh menontonnya pada link berikut:
AFN.net - BPK2 - Jihad Penulisan - En Ahmad Yani
AFN.net - BPK2 - Teknik Penulisan Blog – UZAR
AFN.net - BPK2 - Penulisan Skrip 1 - En Yusof Mohamed
AFN.net -BPK2 - Perkongsian Pengalaman - Dato Hishamuddin Yaacob
AFN.net - BPK2 - Penulisan Skrip 2 - En Yusof Mohamed
AFN.net - BPK2 - Penulisan Buku - Pn Sri Diah
1 ulasan:
'Royalti Kitab Sahih Bukhari'
Satu cetusan yang memotivasikan semua...
Catat Ulasan