Soalan:
Minta pencerahan dari kawan-kawan. Apabila kita ke masjid agak terlewat, sampai je azan pun selesai. Contohnya solat Asar. Yang mana patut didahulukan, solat tahiyatul masjid atau solat sunat Asar?
Jawapan:
Cukup dengan solat sunat qabliyah, kerana apabila kita telah solat 2 rakaat lalu duduk menunggu solat maka kita telahpun beramal dengan anjuran solat tahiyat masjid seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:
عَنْ أَبِي قَتَادَةَ السَّلَمِيِّ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ ".
Dari Abu Qatadah As-Salami, bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Jika salah seorang dari kalian masuk masjid, maka hendaklah dia solat dua rakaat sebelum ia duduk." (Sahih Bukhari, 444)
Antara cadangan, amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam situasi seperti yang disebutkan di atas ialah:
- Selepas Azan, ucap selawat.
- Kemudian, baca doa lepas azan.
- Kemudian, solat sunnat dua rakaat
- Kemudian, duduk dan berdoa, mohonlah apa sahaja dari Allah Ta’ala, hinggalah Muazzin beriqomah.
Kenapa berselawat sebelum membaca doa selepas azan? Berikut adalah anjurannya dari sebuah hadis yang sahih. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:
إذا سمعتُمُ المؤذِّنَ فقولوا مثلَ ما يقولُ . ثمَّ صلُّوا عليَّ . فإنَّهُ مَن صلَّى عليَّ صلاةً صلَّى اللَّهُ عليه بِها عشْرًا . ثمَّ سلوا اللَّهَ ليَ الوسيلَةَ . فإنَّها منزِلةٌ في الجنَّةِ لا تنبغي إلَّا لعبدٍ من عبادِ اللَّهِ . وأرجو أن أكونَ أنا هو . فمن سأل ليَ الوسيلةَ حلَّتْ لهُ الشَّفَاعةُ
"Jika kalian mendengar (suara azan) muazzin, maka ucapkanlah seperti apa yang diucapkan oleh dia, lalu berselawatlah ke atasku. Barangsiapa berselawat ke atasku sekali, maka Allah akan berselawat (mendoakan kesejahteraan) kepadanya sepuluh kali. Kemudian mintalah wasilah kepada Allah untukku, kerana wasilah adalah suatu kedudukan di syurga yang tiada seorang pun patut (mendapatnya) kecuali seorang hamba dari hamba-hamba Allah. Dan Aku sangat berharap agar akulah orang tersebut, dan barangsiapa memintakan wasilah untukku maka dia berhak mendapat syafaat." (Sahih Muslim, 384)
Kenapa perlu solat selepas azan? Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menganjurkannya, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis dalam Sahih Bukhari:
"بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ "ـ ثَلاَثًا ـ" لِمَنْ شَاءَ"
“Di antara dua azan (azan dan iqamat) ada solat (sunnah)” -baginda mengucapkannya tiga kali- “bagi yang mahu”. (Sahih Bukhari, 624)
Kenapa pula berdoa sebelum iqomah? Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah memberitahu kita dalam sebuah hadis bahawa doa antara waktu azan dan iqomah adalah doa yang tidak ditolak. Baginda bersabda:
"لاَ يُرَدُّ الدُّعَاءُ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ"
Tidak ditolak doa, antara azan dan iqomah. (Sunan Abi Daud, 521. Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani)
Rujukan: Sunnah.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan