الْجَنَّةُ
Syurga
---------------------------------------------------------
Alhamdulillah, As-Solatu Wa As-Salamu 'Ala Rasulillah. In sya Allah, bermula dengan post ini, penulis akan mula mengumpulkan riwayat-riwayat berkaitan Jannah. Mudah-mudahan ia memberi manfaat terutamanya kepada diri penulis sendiri serta ahli keluarganya.
Riwayat pertama yang terpilih adalah dari Kitab Sahih Muslim, dari Kitab Al-Jannah dan Sifatu Na'imiha Wa Ahliha.
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: " حُفَّتِ الْجَنَّةُ بِالْمَكَارِهِ وَحُفَّتِ النَّارُ بِالشَّهَوَاتِ ".
Dari Anas bin Malik, katanya, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam telah bersabda, "Jannah dikelilingi oleh kepayahan manakala neraka dikelilingi oleh keseronokan (syahwat).
Antara perkara yang boleh kita pelajari dari hadis ini ialah:
Perjalanan menuju jannah perlu melalui kepayahan. Dengan itu, apabila menyedari bahawa kehidupan kita susah demi mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah, maka terimalah hakikat tersebut.
Ahli syurga terpaksa menahan kepanasan di dunia ketika mematuhi arahan menutup aurat. Mereka juga terpaksa bersabar dalam melakukan Ibadah yang telah dijadualkan dalam kehidupan mereka seharian. Selain itu, mereka juga terpaksa menahan diri dari menikmati perkara-perkara terlarang.
Ahli neraka mesti melalui jalan-jalan yang terdapat kenikmatan-kenikmatan terlarang di dunia sebelum sampai ke tempat tujuannya. Mereka tak perlu pedulikan larangan-larangan tersebut untuk sampai ke neraka.
Justeru, marilah kita periksa perjalanan hidup kita. Adakah ia perjalanan ke syurga atau perjalanan ke neraka?
Ya Allah, jadikanlah kami Ahli Syurga dan jauhkan kami dari neraka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan