Pages

Ahad, 14 September 2014

Manusia yang dilaknat Malaikat

Pendahuluan

Dr Umar Sulaiman Al-Asyqar, dalam karyanya Dunia Malaikat, telah menghimpunkan beberapa riwayat tentang beberapa golongan yang dilaknat oleh Malaikat. Dan di antara mereka termasuk beberapa golongan dari kalangan orang Islam yang melakukan beberapa jenis dosa. Berikut adalah riwayat-riwayatnya: 

Golongan isteri yang menolak ajakan suaminya untuk ke katilnya


Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dari Abu Hurairah, bahawa beliau berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katilnya, lalu dia (isteri) enggan untuk pergi kepadanya (suami), maka malaikat melaknatinya sampai pagi.” dan dalam riwayat yang lain dikatakan: “...sehingga dia kembali taat.” HR Bukhari. 

Menurut Imam An-Nawawi, ketika mensyarahkan sebuah hadis seperti ini dalam riwayat Sahih Muslim, ia menunjukkan bahawa terdapatnya larangan kepada isteri dari menolak ajakan suami ke katilnya tanpa ada halangan syar’ie. Dan haidh tidak termasuk dalam halangan syar’ie yang dimaksudkan kerana suami berhak untuk berseronok dengan isterinya yang dalam keadaan haidh selagi ianya setakat bahagian yang dibenarkan. Manakala Ibn Hajar menukilkan pendapat Ibn Abi Hamzah Az-Zohir yang mengatakan bahawa “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katilnya” bermaksud jimak. 

Golongan yang menghunuskan senjata tajam kepada saudara seimannya. 


Imam Muslim telah meriwayatkan dalam kitab sahihnya dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: Abul Qasim telah bersabda: “Barangsiapa menghunuskan senjata tajam kepada saudaranya seiman, maka dia dilaknat malaikat, meskipun orang tersebut adalah saudara kandungnya.” HR Muslim. 

Walaupun ianya sekadar gurauan, ia mungkin juga boleh menyebabkan berlakunya pembunuhan. Apatah lagi, senjata moden yang dengan hanya sekali petik, dengan pantas ia membunuh. Telah ramai yang telah terbunuh oleh saudara sendiri tanpa disengajakan seperti ini. 

Golongan yang mencela sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam

Diriwayatkan dalam Mu’jam At-Tabrani dari Ibn Abbas dengan sanad yang baik, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mencaci sahabatku, maka baginya laknat Allah, laknat malaikat dan semua manusia.” HR At-Tabrani. 

Kita merasa aneh dengan satu kaum yang menjadikan agama mereka dengan mencaci maki para sahabat dan menganggapnya satu cara mendekatkan diri kepada Allah. Padahal Rasulullah telah memberitahu kita tentang balasannya seperti yang disebutkan dalam hadis di atas.

Golongan yang mengelak dari berhukum dengan hukum Allah

Diriwayatkan dalam Sunan An-Nasa’i dan Ibn Majah dengan sanad yang baik dari Abdullah bin Abbas, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda: “ Barangsiapa yang membunuh dengan sengaja, maka baginya hukuman mati (qisas). Dan barangsiapa menghalangi perlaksanaan hukuman qisas ini, maka baginya laknat Allah, malaikat dan manusia semua.” HR An-Nasa’i dan Ibn Majah. 

Maka barangsiapa yang mengelak seorang pembunuh dari dihukum dengan hukuman Allah maka baginya laknat tersebut. Bagaimana pula orang yang mengelakkan hukuman-hukuman Allah yang lain?

Golongan yang melindungi pelaku bid’ah

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan dari Sunan Abi Daud, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu (dalam agama Islam), atau melindungi orang yang melakukan hal itu, maka baginya laknat Allah, malaikat dan seluruh manusia.” HR Abu Daud. 

Dalam sebuah hadis lagi dari Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, dari Ali bin Abi Talib, dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda: “Madinah adalah tanah haram (terhormat) antara daerah ‘Air dan Tsaur. Barangsiapa berbuat hal yang baru (dalam Islam) di sana atau melindungi pelaku perbuatan hal baru, maka baginya laknat Allah, malaikat dan seluruh manusia. Dan di hari kiamat, Allah tidak akan menerima perbuatan ibadah dari dia baik yang wajib atau yang sunnah.” HR Bukhari. 

Penutup

Kita memohon kepada Allah, agar diberi hidayah kepada kita serta ahli keluarga kita supaya kita dijauhkan dari melakukan perkara-perkara yang dilaknat ini secara sengaja mahupun secara tidak sengaja.

Rujukan: 
  1. Dunia Malaikat, Dr Umar Sulaiman al-Asyqar, Riyadh: International Islamic Publishing House, 2008. (p. 135-137)
  2. جواب شبهة حول حديث (..لعنتها الملائكة حتى تصبح)
  3. Fathul Bari (versi Maktabah Syamilah), Ibn Hajar Al-Asqalani, (9/294) 


Tiada ulasan: