Pages

Khamis, 14 Oktober 2010

Lebih Baik Diam Dari Banyak Berbicara

Bismillah...

Alhamdulillah, baru-baru ini saya sempat membaca sebuah buku kecil tulisan Shaikh 'Abdul-Muhsin Al-'Abbaad bertajuk رفقا أهل السنة بأهل السنة [Bersikap Lembutlah Terhadap Sesama Ahlus Sunnah] . Buku ringkas tersebut mengandungi kata-kata nasihat kepada umat Islam supaya sedaya upaya mengelakkan perpecahan dan mengekalkan kesatuan ummah. Beliau ada menyatakan beberapa perkara yang menyebabkan perpecahan dikalangan umat Islam yang berlaku di negara beliau. Di sini saya ingin kongsikan satu dari cara mengelakkan perpecahan yang disebutkan dalam buku tersebut iaitu “berdiam diri”. Selebihnya, silalah baca buku kecil tersebut yang juga terdapat versi digitalnya di internet.

[Bahagian ini saya salin dan sunting dari naskah versi Bahasa Indonesia dari Islamhouse.com di bawah tajuk MENJAGA LISAN AGAR SELALU BERBICARA BAIK. Semoga Allah menjadikan kita dari kalangan orang yang mendengar kebaikan lalu mengikutinya]
...
Al-Bukhari dalam kitab Sahihnya no.6475, dan Muslim dalam kitab Sahihnya no.74 meriwayatkan hadis dari Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam bersabda :
وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam”

Imam Nawawi berkomentar tentang hadis ini ketika memaparkan hadis-hadis Arba’in. Kata beliau, “Imam Syafi’i menjelaskan bahawa maksud hadis ini, apabila seseorang hendak berucap maka hendaklah dia berfikirlah terlebih dahulu. Jika dirasakan perkataannya tidak akan membawa mudharat (keburukan), maka berbicaralah. Akan tetapi, jika dirasakan perkataannya itu akan membawa mudharat atau diragui akan membawa mudharat atau tidak, maka hendaknya dia menahan ucapannya”. Sebagian ulama berkata, “Seandainya kalianlah yang membelikan kertas untuk para malaikat yang mencatat amalan kalian, nescaya kalian akan lebih banyak diam daripada berbicara”.

Imam Abu Hatim Ibnu Hibban Al-Busti berkata dalam kitabnya Raudhah Al-‘Uqala` wa Nuzhah Al-Fudhala` hal.45, “Orang yang berakal sepatutnya lebih banyak diam daripada berbicara. Berapa banyak orang yang menyesal, ketika dia berbicara. Dan berapa sedikitnya orang yang menyesal kerana diam. Orang yang paling lama deritanya, dan paling besar musibahnya adalah orang yang lidahnya sentiasa berbicara, sedangkan fikirannya tidak mau jalan.”

Pada hal.47, beliau berkata lagi, “Orang yang berakal seharusnya lebih banyak mempergunakan kedua telinganya daripada mulutnya. Dia perlu sedar bahawa dia diberi dua telinga, sedangkan mulut hanya satu, adalah supaya dia lebih banyak mendengar daripada berbicara. Seringkali orang menyesal di kemudian hari kerana perkataan yang diucapkannya, sementara diamnya tidak pernah membawa penyesalan. Dan menarik diri dari perkataan yang belum diucapkan adalah lebih mudah, daripada menarik perkataan yang telah terlanjur diucapkan. Hal itu kerana biasanya apabila seseorang sedang berbicara, maka perkataan-perkataannya akan menguasai dirinya. Sebaliknya, bila dia tidak berbicara maka dia mampu mengawal perkataan-perkataannya.

Pada hal. 49, beliau menambah, “Lidah seorang yang berakal berada di bawah kawalan hatinya. Ketika dia hendak berbicara, maka dia akan bertanya terlebih dahulu kepada hatinya. Apabila perkataan tersebut bermanfaat bagi dirinya, maka dia akan berbicara, tetapi apabila tidak bermanfaat, maka dia akan diam. Adapun orang yang bodoh, hatinya berada di bawah kawalan lidahnya. Dia akan berbicara apa saja yang ingin diucapkan oleh lidahnya. Seseorang yang tidak mampu menjaga lidahnya, bererti dia tidak faham tentang agamanya”.

Tiada ulasan: