Saya dijemput untuk menyumbangkan tulisan tentang "Islam di Malaysia" ke sebuah website di Indonesia. Antara perkara yang saya lakukan untuk menulis tajuk tersebut ialah mengumpulkan tulisan-tulisan dari internet dan buku-buku untuk rujukan. Lalu saya mula membaca untuk mendapatkan maklumat berkaitan.
Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik oleh Kassim Thukiman |
Antara bahan bacaan yang mula saya baca ialah buku "Malaysia: Perspektif Sejarah dan Politik tulisan Kassim Thukiman". Buku ini cuba memberikan maklumat tentang Malaysia dari perspektif sejarah dan politik kepada pembaca melalui kajian oleh orang Malaysia. Menurut penulis buku ini, "Penulisan sejarah Malaysia yang awal kebanyakannya memang dikuasai oleh penulis Barat, termasuklah pegawai tanah jajahan. Mereka lebih cenderung menonjolkan kewibawaan golongan kulit putih yang dianggap sebagai pencetus tamadun dan pentadbiran di Malaysia." Beliau seterusnya membuat kesimpulan bahawa "kesan langsung daripada pendekatan tersebut adalah kebanyakan pelajar lebih mengenali tokoh dari Barat seperti Francis Light, Stanford Raffles, Frank Swetternham, JWW Birch, Hugh Low dan sebagainya. Manakala tokoh tempatan seperti Dol Said, Tok Janggut, Dato' Bahaman, Dato' Maharaja Lela, Haji Abdul Rahman Limbong, Rosli Dhobi dan lain-lain seringkali dikesampingkan. Malahan, mereka diberi pelbagai label yang negatif seperti penderhaka atau pemberontak."
Dari sini, saya mula terfikir akan kesan tulisan saya, jika saya menulis berdasarkan sumber-sumber yang tidak sepatutnya. Risau juga jika ia mencacatkan wajah Islam yang sempurna dan indah.
Selain itu, kenyataan tersebut juga membuatkan saya terfikir beberapa perkara lain antaranya:
- Ia menggambarkan aktiviti-aktiviti serangan pemikiran oleh orentalis di Malaysia pada suatu ketika dahulu. Metode yang digunapakai disini adalah melalui penyelewengan fakta yang bertujuan untuk memburukkan imej Islam dan mencantikkan imej barat dikaca umat Islam dan masyarakat lain yang belum Islam. Hasilnya orang Islam sendiri tidak merasai lagi kehebatan dan keindahan Islam sementara orang-orang lain yang belum Islam terhijab atau terhalang dari mengetahui hakikat dan keindahan Islam.
- Pentingnya menilai tulisan-tulisan yang ada di internet dan buku-buku. Kerana ada tulisan-tulisan yang ditulis seperti yang digambarkan oleh Saudara Kassim Thukiman tersebut.
Mudahan-mudahan kita akan lebih berhati-hati dalam memilih bahan bacaan supaya kita tidak tersilap dalam tindakan kita akibat penyelewengan fakta.
1 ulasan:
Artikelnya santai saja pak, jangan rumit-rumit.
Catat Ulasan