Pages

Memaparkan catatan dengan label Q&A. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Q&A. Papar semua catatan

Khamis, 30 Julai 2015

Q&A: Wudhu dan minyak gamat

Q: 
Assalamualaikum ustaz.. Nak tanya sikit.. Kalau kita pakai minyak gamat/lintah atau minyak2 yg berasaskan binatang.. Boleh tak sembahyang.. Atau kena cuci dahulu baru boleh sembahyang.
...

A:

Wa'alaykum  As-Salam ...

Apa yang difahami dari soalan ini ialah berkaitan jika seseorang menyapukan minyak gamat/lintah atau minyak jenis lain pada anggota wudhuk, adakah dia perlu hilangkan kesan minyak tersebut sebelum dia berwudhu untuk solat?

Jawapannya, bergantung kepada minyak tersebut, jika ia menghalang air dari sampai ke kulit, kesan minyak tersebut perlu dihilangkan terlebih dahulu (Fatwa Islamweb no. 1726). 

Allah Ta'ala memerintahkan kita supaya berwudhuk sebelum solat, iaitu termasuk dengan membasuh beberapa anggota badan seperti muka, kedua tangan hingga ke siku dan kedua kaki hingga buku lali. Firman-Nya:
 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلاةِ فاغْسِلُواْ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُواْ بِرُؤُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَينِ [المائدة: 6].
"Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwudhuklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali..."(Surah Al-Maidah:6)
Menurut tafsiran ulama, arahan membasuh anggota wudhuk tersebut, adalah dengan mengenakan air pada kulit. Jumhur ulama berdalilkan sabda Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam dalam hal ini:
فإذا وجدت الماء فأمسه جلدك
"Maka ketika kamu menjumpai air maka sapulah ia kepada kulitmu." (Sunan Abu Daud, no. 333; hadis dinilai sahih oleh Al-Albani)
Maka jika ada sesuatu yang menghalang air dari terkena kulit, maka ia perlulah dihilangkan terlebih dahulu (Fatwa Islamweb no. 29701).

Wallahu a'lam.

Rabu, 27 Mei 2015

Bolehkah Bertemu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam Secara Sedar?

Soalan dari Puan Sri: Assalamualaikum... adakah kita boleh bertemu Rasulullah saw secara sedar ataupun mimpi?

Jawapan:

Wa'alaykum As-Salam.
Puan Sri. Bertemu Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam, secara sedar di sebut juga Yaqazah. Manusia zaman kita adalah mustahil untuk bertemu dengan baginda sallallahu 'alaihi wa sallam. Kumpulan Al-Arqam pernah dikatakan menyeleweng salah satunya kerana meyakini hal ini. Berikut adalah keterangan dari laman web Jakim tentang isu Yaqazah Kumpulan Al-Arqam: http://www.islam.gov.my/sites/default/files/menjawab_dakwaan_yaqazah_sesat_jemaah_al-arqam.pdf

Manakala, bertemu Baginda sallallahu 'alaihi wa sallam secara mimpi, ia tidak mustahil, dan terdapat hadis sahih yang menunjukkan hal ini. Cumanya, dalam penerangan ulama tentangnya, mereka ada menyebut bahawa syaitan boleh juga masuk dalam mimpi dan menyamar sebagai Nabi. Dengan sebab itu, perlu diperiksa ciri-ciri bentuk badan dan wajah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam dengan hadis-hadis sahih yang menerangkan tentangnya, seperti yang terdapat dalam Kitab Syama-il Muhammadiyah. Isu ini juga pernah dijelaskan oleh Syeikh Abdurrazaq Al-Badr dalam syarah beliau ke atas Kitab Syama-il Muhammadiyah Karya Imam At-Tirmizi.

Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu bahwa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
من رآني في المنام فقد رآني فإن الشيطان لا يتخيل بي

“Siapa yang melihatku dalam mimpi, dia benar-benar melihatku. Kerana syaitan tidak mampu meniru rupa diriku.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Wallahu a'lam.

Ahad, 16 November 2014

Q&A: Hukum memakan daging keldai

Soalan:
Ustaz, tolong carikan tentang hukum memakan keldai liar dan keldai peliharaan.
Jawapan:
Berikut adalah hadis yang menunjukkan larangan memakan daging Himar Ahliyah (Keldai Peliharaan). Hadis riwayat  Anas bin Malik,
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَاءَهُ جَاءٍ فَقَالَ أُكِلَتْ الْحُمُرُ ثُمَّ جَاءَهُ جَاءٍ فَقَالَ أُكِلَتْ الْحُمُرُ ثُمَّ جَاءَهُ جَاءٍ فَقَالَ أُفْنِيَتْ الْحُمُرُ فَأَمَرَ مُنَادِيًا فَنَادَى فِي النَّاسِ إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ الْأَهْلِيَّةِ فَإِنَّهَا رِجْسٌ فَأُكْفِئَتْ الْقُدُورُ وَإِنَّهَا لَتَفُورُ بِاللَّحْمِ
Bahawasanya telah datang seseorang kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sambil berkata, “Daging-daging keldai telah dimakan”, kemudian datang lagi seseorang sambil berkata, “Daging-daging keldai telah dimakan” kemudian datang lagi seseorang sambil berkata “Keldai-keldai telah binasa.” Maka baginda telah memerintahkan seseorang untuk menyeru di tengah-tengah manusia, "Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya melarang kalian dari memakan daging-daging keldai peliharaan, kerana sesungguhnya ia adalah najis” Lalu, mereka menumpahkan periuk-periuk itu dan sesungguhnya ianya di gunakan untuk memasak daging tersebut.” (HR. Bukhari no. 5528 dan Muslim no. 1940)

Di sebaliknya, hadis berikut pula menunjukkan bahawa memakan daging keldai liar adalah dibenarkan oleh baginda Nabi sallallahu 'alaihi wa sallamAbu Qatadah menceritakan:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – خَرَجَ حَاجًّا ، فَخَرَجُوا مَعَهُ فَصَرَفَ طَائِفَةً مِنْهُمْ ، فِيهِمْ أَبُو قَتَادَةَ فَقَالَ خُذُوا سَاحِلَ الْبَحْرِ حَتَّى نَلْتَقِىَ . فَأَخَذُوا سَاحِلَ الْبَحْرِ ، فَلَمَّا انْصَرَفُوا أَحْرَمُوا كُلُّهُمْ إِلاَّ أَبُو قَتَادَةَ لَمْ يُحْرِمْ ، فَبَيْنَمَا هُمْ يَسِيرُونَ إِذْ رَأَوْا حُمُرَ وَحْشٍ ، فَحَمَلَ أَبُو قَتَادَةَ عَلَى الْحُمُرِ ، فَعَقَرَ مِنْهَا أَتَانًا ، فَنَزَلُوا فَأَكَلُوا مِنْ لَحْمِهَا ، وَقَالُوا أَنَأْكُلُ لَحْمَ صَيْدٍ وَنَحْنُ مُحْرِمُونَ فَحَمَلْنَا مَا بَقِىَ مِنْ لَحْمِ الأَتَانِ ، فَلَمَّا أَتَوْا رَسُولَ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ ، إِنَّا كُنَّا أَحْرَمْنَا وَقَدْ كَانَ أَبُو قَتَادَةَ لَمْ يُحْرِمْ ، فَرَأَيْنَا حُمُرَ وَحْشٍ فَحَمَلَ عَلَيْهَا أَبُو قَتَادَةَ ، فَعَقَرَ مِنْهَا أَتَانًا ، فَنَزَلْنَا فَأَكَلْنَا مِنْ لَحْمِهَا ثُمَّ قُلْنَا أَنَأْكُلُ لَحْمَ صَيْدٍ وَنَحْنُ مُحْرِمُونَ فَحَمَلْنَا مَا بَقِىَ مِنْ لَحْمِهَا . قَالَ ‏"‏ مِنْكُمْ أَحَدٌ أَمَرَهُ أَنْ يَحْمِلَ عَلَيْهَا، أَوْ أَشَارَ إِلَيْهَا ‏"‏‏.‏ قَالُوا لاَ‏.‏ قَالَ ‏"‏ فَكُلُوا مَا بَقِيَ مِنْ لَحْمِهَا ‏"‏‏.‏
“Bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah keluar (bermusafir) untuk haji. Telah keluar juga bersama baginda beberapa orang lain. Lalu sebahagian dari mereka telah berpisah. Terdapat bersama kumpulan tersebut, Abu Qatadah radhiallahu ‘anhu. Beliau telah berkata (kepada kumpulan tersebut): “Ambillah laluan menyusuri tepian pantai hingga kita bertemu (semula)”. Lalu mereka pun mengambil laluan di tepian pantai. Sebaik sahaja berangkat, mereka semuanya telah berihram kecuali Abu Qatadah tidak berihram. Ketika mereka sedang berjalan, tiba-tiba mereka melihat ada keldai-keldai liar. Maka Abu Qatadah menghampiri keldai-keldai itu lalu menyembelih sebahagiannya, dia telah datang kepada kami. Maka mereka berhenti lalu memakan daging keldai tersebut. Dan mereka telah berkata: “Adakah kita boleh memakan daging haiwan buruan sedangkan kita sedang berihram?”. Maka kami bawa sisa daging tersebut. Ketika mereka berjumpa dengan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, mereka berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami sedang berihram sedangkan Abu Qatadah tidak berihram. Lalu kami telah menjumpai keldai-keldai liar, lalu Abu Qatadah telah menangkapnya lalu menyembelihnya kemudian sebagian dagingnya dibawa kepada kami, lalu kami berhenti dan memakan dari daging tersebut kemudian kami berkata: “Adakah kita boleh memakan daging haiwan buruan sedangkan kita sedang berihram?”. Lalu kami bawa sisa dagingnya itu kemari”. Baginda bertanya: “Adakah ada diantara kalian yang sedang berihram menyuruh Abu Qatadah untuk memburunya atau memberi isyarat kepadanya?”. Mereka menjawab: “Tidak ada”. Maka Baginda bersabda: “Makanlah sisa daging yang ada itu”.” (HR. Bukhari no. 1824 dan Muslim no. 1196)
Dalam satu riwayat Abu Qatadah yang lain, beliau menceritakan bahawa rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam juga telah memakan bahagian kaki keldai liar tersebut.
قَالَ ‏ "‏ هَلْ مَعَكُمْ مِنْهُ شَىْءٌ ‏"‏‏.‏ قَالَ مَعَنَا رِجْلُهُ، فَأَخَذَهَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم فَأَكَلَهَا‏.‏
Baginda telah berkata, "Adakah masih ada bersama kamu (daging tersebut)?" Dia telah menjawab, "Kami ada kakinya" lalu Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam telah mengambilnya lalu memakannya. (HR Bukhari no. 2854)


Dalam Kitab Al-Umm, Imam As-Syafi'e rahimahullah ketika menerangkan riwayat berikut iaitu riwayat dari Ali bin Abi Talib,
 أن النبي صلى الله عليه وسلم نهى عام خيبر عن نكاح المتعة ، وعن لحوم الحمر الأهلية
"Bahawa Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam telah melarang, pada Tahun Khaibar, dari nikah mut'ah dan dari daging keldai-keldai peliharaan". 

Beliau mengatakan bahawa terdapat dua dalil dari riwayat tersebut. Pertama, dalil pengharaman memakan keldai peliharaan dan kedua, keharusan memakan keldai liar. Demikian ringkasnya, sila rujuk teks asal di sini

Catatan tentang Himar Wahsyi
Dalam bahasa Arab Himar Wahsyi boleh merujuk kepada keldai liar atau kuda belang. Maklumat dari Wikipedia menunjukkan bahawa keldai liar hidup di benua Afrika termasuk di negara Arab Saudi manakala kuda belang pula, sumber dari National Geographic, menunjukkan kuda belang tidak hidup di negara Arab Saudi.

Rujukan:


Rabu, 29 Oktober 2014

Q&A: Adakah memakai stokin semasa solat merupakan sebahagian dari sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam?

Soalan:

Assakamualaikum ustaz. nak tanya memakai stokin semasa solat adakah sebahagian dr sunah nabi. Sy ade perhatikan di beberapa masjid besar di Malaysia beberapa kakitangan masjid termasuk imam, bilal yg duduk di saf depan memakai stokin hitam semasa sembahyang berjemaah. Ataupun itu pakaian rasmi kakitangan masjid.
Dari: Seorang Jemaah Surau La Cottage

...

Jawapan:

Wa’alaykum As-salam wa rahmat Allah wa barokaatuh,
Wallahu A’lam.

Setakat pengetahuan saya, saya belum jumpa anjuran dari Quran dan Sunnah yang menggalakkan kita memakai stokin untuk solat. Yang pernah dijumpai adalah riwayat-riwayat berkaitan keringanan untuk tidak membasuh kaki ketika berwudhu dalam keadaan memakai stokin yang bersih. Saya sertakan beberapa riwayat berkaitan dengannya di sini in sya Allah.

Riwayat Pertama: 

عَنِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ، قَالَ تَوَضَّأَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم وَمَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ
Dari Mughirah bin Syu'bah, beliau telah berkata Nabi sallallahu 'alaihi wasallam telah berwudhu dan baginda telah mengusap kedua stokinnya dan kedua sandalnya. (Sunan Tirmidzi, 99; hadis dinilai hasan sahih oleh Imam At-TIrmidzi serta dinilai sahih oleh SyaikhAl-Albani)

Riwayat Kedua, dari Umar dan Abdullah bin ‘Abbas:

مسحَ على الجوربينِ عليٌّ بنُ أبي طالبٍ وابنُ مسعودٍ والبراءُ ابنُ عازبٍ وأنسٌ بنُ مالكٍ وأبو أمامةَ وسهلٌ بنُ سعدٍ وعمروُ بنُ حُريثٍ وروي ذلك عن عمرَ بنِ الخطابِ وابنِ عباسٍ

‘Ali bin Abi Talib, Ibn Mas’ud, Al-Barra’ bin ‘Azib, Anas bin Malik, Abu Umaamah, Sahal bin Sa’d dan ‘Amr bin Harith telah mengusap kedua stokin. (Sunan Abi Daud,159; dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani)

Perkara ini boleh dirujuk dalam kitab-kitab muktabar seperti Naylul Authar, Fiqh As-Sunnah, ‘Aun Al-Ma’bud dan kitab-kitab fiqh lainnya. Terdapat juga beberapa tulisan dan video menarik tentangnya di internet antaranya:

1. Bagaimanakah berwudhu tanpa menanggalkan kasut?
2. Berwudhu dengan menyapu di atas kasut atau stokin
3. Demo menyapu di atas khuf - Ust Johari
4. Sapu di atas khuf - Dr MAZA

Berkenaan, adakah ianya pakaian rasmi petugas masjid? Pada pendapat saya, kemungkinan juga. 
Wallahu a’lam.

Selasa, 16 September 2014

Solat Tahiyatul Masjid atau Solat Qobliyyah, Yang Mana Didahulukan?

Soalan:
Minta pencerahan dari kawan-kawan. Apabila kita ke masjid agak terlewat, sampai je azan pun selesai. Contohnya solat Asar. Yang mana patut didahulukan, solat tahiyatul masjid atau solat sunat Asar?


Jawapan:


Cukup dengan solat sunat qabliyah, kerana apabila kita telah solat 2 rakaat lalu duduk menunggu solat maka kita telahpun beramal dengan anjuran solat tahiyat masjid seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:


عَنْ أَبِي قَتَادَةَ السَّلَمِيِّ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ ‏"‏‏.‏


Dari Abu Qatadah As-Salami, bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Jika salah seorang dari kalian masuk masjid, maka hendaklah dia solat dua rakaat sebelum ia duduk." (Sahih Bukhari, 444)


Antara cadangan, amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam situasi seperti yang disebutkan di atas ialah:


  1. Selepas Azan, ucap selawat.
  2. Kemudian, baca doa lepas azan.
  3. Kemudian, solat sunnat dua rakaat
  4. Kemudian, duduk dan berdoa, mohonlah apa sahaja dari Allah Ta’ala, hinggalah Muazzin beriqomah.


Kenapa berselawat sebelum membaca doa selepas azan? Berikut adalah anjurannya dari sebuah hadis yang sahih. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:


إذا سمعتُمُ المؤذِّنَ فقولوا مثلَ ما يقولُ . ثمَّ صلُّوا عليَّ . فإنَّهُ مَن صلَّى عليَّ صلاةً صلَّى اللَّهُ عليه بِها عشْرًا . ثمَّ سلوا اللَّهَ ليَ الوسيلَةَ . فإنَّها منزِلةٌ في الجنَّةِ لا تنبغي إلَّا لعبدٍ من عبادِ اللَّهِ . وأرجو أن أكونَ أنا هو . فمن سأل ليَ الوسيلةَ حلَّتْ لهُ الشَّفَاعةُ


"Jika kalian mendengar (suara azan) muazzin, maka ucapkanlah seperti apa yang diucapkan oleh dia, lalu berselawatlah ke atasku. Barangsiapa berselawat ke atasku sekali, maka Allah akan berselawat (mendoakan kesejahteraan) kepadanya sepuluh kali. Kemudian mintalah wasilah kepada Allah untukku, kerana wasilah adalah suatu kedudukan di syurga yang tiada seorang pun patut (mendapatnya) kecuali seorang hamba dari hamba-hamba Allah. Dan Aku sangat berharap agar akulah orang tersebut, dan barangsiapa memintakan wasilah untukku maka dia berhak mendapat syafaat." (Sahih Muslim, 384)


Kenapa perlu solat selepas azan? Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menganjurkannya, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis dalam Sahih Bukhari:
"بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ "ـ ثَلاَثًا ـ" لِمَنْ شَاءَ"
“Di antara dua azan (azan dan iqamat) ada solat (sunnah)” -baginda mengucapkannya tiga kali- “bagi yang mahu”. (Sahih Bukhari, 624)


Kenapa pula berdoa sebelum iqomah? Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah memberitahu kita dalam sebuah hadis bahawa doa antara waktu azan dan iqomah adalah doa yang tidak ditolak. Baginda bersabda:
"لاَ يُرَدُّ الدُّعَاءُ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ"
Tidak ditolak doa, antara azan dan iqomah. (Sunan Abi Daud, 521. Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani)


Rujukan: Sunnah.com

Tugas Jibril Selepas Wafatnya Nabi Sallallahu 'Alayhi Wa Sallam

Soalan:

As-Salamu ‘Alaykum. Saya ada beberapa persoalan:

  1. Malaikat Jibril tugasnya menyampaikan wahyu. Adakah Nabi Muhammad orang yg terakhir malaikat Jibril sampaikan wahyu?
  2. Kalau Nabi Muhammad orang terakhir menerima wahyu, Apakah tugas Malaikat Jibril selepas Nabi Wafat?