Pages

Khamis, 28 Mei 2015

Beberapa Orang Soleh yang Dijadikan Berhala

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا (نوح:23)

"Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr. (Nuh:23)


 Siapakah mereka yang disebutkan dalam ayat di atas?
  • Wadd
  • Suwaa'
  • Yaghuth 
  • Ya'uuq
  • Nasr
Dalam tafsir Qurtuby, Tobary dan Ibn Kathir,   dinyatakan bahawa nama-nama yang disebutkan itu adalah asalnya nama orang-orang yang soleh. Apabila mereka meninggal dunia, Syaitan mencadangkan agar dibuat patung/ukiran sebagai memorial. Apabila generasi pembuatnya meninggal dunia, maka hilanglah maklumat tentang perkara tersebut. Pada generasi seterusnya, syaitan membisikkan bahawa dahulu patung/ukiran tersebut disembah lalu mereka menyembahnya. Inilah ringkasan maklumat dari tafsir-tafsir yang disebutkan di atas. 
 
Dalam satu riwayat dari Sahih Al-Bukhari, Ibnu Abbas menjelaskan,
 
أَسْمَاءُ رِجَالٍ صَالِحِينَ مِنْ قَوْمِ نُوحٍ ، فَلَمَّا هَلَكُوا أَوْحَى الشَّيْطَانُ إِلَى قَوْمِهِمْ أَنِ انْصِبُوا إِلَى مَجَالِسِهِمُ الَّتِى كَانُوا يَجْلِسُونَ أَنْصَابًا، وَسَمُّوهَا بِأَسْمَائِهِمْ فَفَعَلُوا فَلَمْ تُعْبَدْ حَتَّى إِذَا هَلَكَ أُولَئِكَ وَتَنَسَّخَ الْعِلْمُ عُبِدَتْ

Mereka adalah nama-nama orang soleh di kalangan kaum Nuh. Ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kaumnya untuk membuat patung di tempat-tempat peribadatan orang soleh itu. Dan memberi nama patung itu dengan nama orang soleh tersebut. Merekapun melakukannya. Namun patung itu tidak disembah. Ketika generasi (pembuat patung) ini meninggal dunia, dan pengetahuan tentang patung ini mulai kabur, akhirnya patung ini disembah. (HR. Bukhari, 4920).

Dari hal ini, kita pelajari bahawa, kita perlu berpada-pada dalam menghormati, mentaati, mencintai dan mengagungkan manusia. Jangan sampai berlebih-lebihan. Begitu juga, kita mesti berwaspada dengan tipudaya syaitan yang boleh memperdaya kita melalui kejahilan diri kita.

Kita mohon agar Allah memelihara kita dari terpedaya oleh tipudaya syaitan. Ameen.

 

Tiada ulasan: