Pages

Selasa, 23 September 2014

Terjemahan Surah Al-Jinn

Sumber: Quran.com/72
Malay
Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!

Malay
`Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu kami beriman kepadanya, dan kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami.

Malay
`Dan (ketahuilah wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak.

Malay
`Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang kurang akal pertimbangannya dari kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang melampaui kebenaran;

Malay
`Dan bahawa sesungguhnya (nyatalah kesalahan) kita menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah.

Malay
`Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

Malay
`Dan bahawa sesungguhnya (tidaklah benar) manusia menyangka sebagaimana yang kamu sangka, bahawa Allah tidak sekali-kali mengutuskan sebarang Rasul (atau tidak akan membangkitkan manusia pada hari kiamat).

Malay
`Dan bahawa sesungguhnya kami telah berusaha mencari berita langit, lalu kami dapati langit itu penuh dengan pengawal-pengawal yang sangat kuat kawalannya, dan (dengan rejaman-rejaman) api yang menyala.

Malay
`Padahal sesungguhnya kami dahulu biasa menduduki tempat-tempat (perhentian) di langit untuk mendengar (percakapan penduduknya); maka sekarang sesiapa yang cuba mendengar, akan mendapati api yang menyala yang menunggu merejamnya.

Malay
`Dan bahawa sesungguhnya kami tidak mengetahui adakah (dengan adanya kawalan langit yang demikian) hendak menimpakan bala bencana kepada penduduk bumi, atau pun Tuhan mereka hendak melimpahkan kebaikan kepada mereka?

Malay
`Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.

Malay
`Dan bahawa sesungguhnya kita (sekarang) mengetahui, bahawa kita tidak sekali-kali akan dapat melepaskan diri dari balasan Allah (walau di mana sahaja kita berada) di bumi, dan kita juga tidak sekali-kali akan dapat melarikan diri dari balasanNya (walau ke langit sekalipun).

Malay
`Dan bahawa sesungguhnya kami, ketika mendengar petunjuk (Al-Quran), kami beriman kepadanya (dengan tidak bertangguh lagi); kerana sesiapa yang beriman kepada Tuhannya, maka tidaklah ia akan merasa bimbang menanggung kerugian (mengenai amalnya yang baik), dan juga tidak akan ditimpakan sebarang kesusahan.

Malay
`Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar,

Malay
` Adapun orang-orang yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam. '

Malay
(Nabi Muhammad diwahyukan menerangkan lagi): "Dan bahawa sesungguhnya! Kalaulah mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas jalan (Islam), sudah tentu Kami (akan memberikan mereka sebab-sebab kemewahan, terutama) menurunkan hujan lebat kepada mereka.

Malay
"(Pemberian yang demikian) untuk Kami menguji (dan menzahirkan bawaan dan keadaan) mereka dalam menikmati apa yang Kami berikan itu (adakah mereka bersyukur dan tetap betul menurut Islam); dan (ingatlah), sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya, (dengan berlaku ingkar - derhaka, maka) Tuhan akan memasukkannya ke dalam azab yang memuncak beratnya.

Malay
"Dan bahawa sesungguhnya masjid-masjid itu untuk (ibadat kepada) Allah semata-mata; maka janganlah kamu seru dan sembah sesiapapun bersama-sama Allah.

Malay
"Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya".

Malay
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun".

Malay
Katakanlah lagi; " Sesungguhnya aku tidak berkuasa mendatangkan sebarang mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan sebarang kebaikan bagi kamu.

Malay
Katakanlah lagi; "Sesungguhnya aku, tidak sekali-kali akan dapat diberi perlindungan oleh sesiapapun dari (azab) Allah (jika aku menderhaka kepadaNya), dan aku tidak sekali-kali akan mendapat tempat perlindungan selain daripadaNya,

Malay
"(Aku diberi kuasa) hanya menyampaikan (wahyu) dari Allah dan perintah-perintahNya (yang ditugaskan kepadaku menyampaikannya); dan sesiapa yang menderhaka kepada Allah dan ingkarkan bawaan RasulNya, maka sesungguhnya disediakan baginya neraka Jahannam; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya.".

Malay
(Golongan yang kufur ingkar itu tetap memandang engkau lemah dan kurang penyokong wahai Muhammad), sehingga apabila mereka melihat (azab) yang dijanjikan kepada mereka, maka (pada saat itu) mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lemah penolong-penolongnya, dan sedikit jumlah bilangannya.

Malay
(Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: "Aku tidak mengetahui sama ada (azab) yang dijanjikan kepada kamu itu sudah dekat, atau Tuhanku menentukan bagi kedatangannya satu tempoh yang lanjut.

Malay
"Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, maka Ia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahuiNya itu kepada sesiapapun, -

Malay
"Melainkan kepada mana-mana Rasul yang di redaiNya (untuk mengetahui sebahagian dari perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan).

Malay
"(Tuhan mengadakan malaikat-malaikat itu) supaya Ia mengetahui bahawa sesungguhnya - (dengan jagaan mereka) - Rasul-rasul itu telah menyampaikan perutusan-perutusan Tuhan mereka, (dengan sempurna); pada hal Ia memang mengetahui dengan meliputi segala keadaan yang ada pada mereka, serta Ia menghitung tiap-tiap sesuatu: satu persatu".

Selasa, 16 September 2014

Kempen Selawat Selepas Azan

Kenapa berselawat sebelum membaca doa selepas azan? Berikut adalah anjurannya dari sebuah hadis yang sahih. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إذا سمعتُمُ المؤذِّنَ فقولوا مثلَ ما يقولُ . ثمَّ صلُّوا عليَّ . فإنَّهُ مَن صلَّى عليَّ صلاةً صلَّى اللَّهُ عليه بِها عشْرًا . ثمَّ سلوا اللَّهَ ليَ الوسيلَةَ . فإنَّها منزِلةٌ في الجنَّةِ لا تنبغي إلَّا لعبدٍ من عبادِ اللَّهِ . وأرجو أن أكونَ أنا هو . فمن سأل ليَ الوسيلةَ حلَّتْ لهُ الشَّفَاعةُ

"Jika kalian mendengar (suara azan) muazzin, maka ucapkanlah seperti apa yang diucapkan oleh dia, lalu berselawatlah ke atasku. Barangsiapa berselawat ke atasku sekali, maka Allah akan berselawat (mendoakan kesejahteraan) kepadanya sepuluh kali. Kemudian mintalah wasilah kepada Allah untukku, kerana wasilah adalah suatu kedudukan di syurga yang tiada seorang pun patut (mendapatnya) kecuali seorang hamba dari hamba-hamba Allah. Dan Aku sangat berharap agar akulah orang tersebut, dan barangsiapa memintakan wasilah untukku maka dia berhak mendapat syafaat." (Sahih Muslim, 384)

Berselawatlah selepas azan. Ganjaran besar menanti kita dihari akhirat. Pelajari lebih lagi tentang selawat di sini: http://goo.gl/MtOQZv  

[PROJEK SEBARAN ILMU | SURAU LA COTTAGE]
Sumbangan untuk aktiviti dan pembangunan surau:~

Bank: CIMB, No. Akaun: 1253-0002714-20-3, Nama pemegang amanah: ZAMRI BIN SUKAR, ZULKARNAIN BIN OTHMAN, FARIDIL ATRAH BIN SAMSUDIN]

Solat Tahiyatul Masjid atau Solat Qobliyyah, Yang Mana Didahulukan?

Soalan:
Minta pencerahan dari kawan-kawan. Apabila kita ke masjid agak terlewat, sampai je azan pun selesai. Contohnya solat Asar. Yang mana patut didahulukan, solat tahiyatul masjid atau solat sunat Asar?


Jawapan:


Cukup dengan solat sunat qabliyah, kerana apabila kita telah solat 2 rakaat lalu duduk menunggu solat maka kita telahpun beramal dengan anjuran solat tahiyat masjid seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:


عَنْ أَبِي قَتَادَةَ السَّلَمِيِّ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ "‏ إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ ‏"‏‏.‏


Dari Abu Qatadah As-Salami, bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Jika salah seorang dari kalian masuk masjid, maka hendaklah dia solat dua rakaat sebelum ia duduk." (Sahih Bukhari, 444)


Antara cadangan, amalan-amalan yang boleh dilakukan dalam situasi seperti yang disebutkan di atas ialah:


  1. Selepas Azan, ucap selawat.
  2. Kemudian, baca doa lepas azan.
  3. Kemudian, solat sunnat dua rakaat
  4. Kemudian, duduk dan berdoa, mohonlah apa sahaja dari Allah Ta’ala, hinggalah Muazzin beriqomah.


Kenapa berselawat sebelum membaca doa selepas azan? Berikut adalah anjurannya dari sebuah hadis yang sahih. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:


إذا سمعتُمُ المؤذِّنَ فقولوا مثلَ ما يقولُ . ثمَّ صلُّوا عليَّ . فإنَّهُ مَن صلَّى عليَّ صلاةً صلَّى اللَّهُ عليه بِها عشْرًا . ثمَّ سلوا اللَّهَ ليَ الوسيلَةَ . فإنَّها منزِلةٌ في الجنَّةِ لا تنبغي إلَّا لعبدٍ من عبادِ اللَّهِ . وأرجو أن أكونَ أنا هو . فمن سأل ليَ الوسيلةَ حلَّتْ لهُ الشَّفَاعةُ


"Jika kalian mendengar (suara azan) muazzin, maka ucapkanlah seperti apa yang diucapkan oleh dia, lalu berselawatlah ke atasku. Barangsiapa berselawat ke atasku sekali, maka Allah akan berselawat (mendoakan kesejahteraan) kepadanya sepuluh kali. Kemudian mintalah wasilah kepada Allah untukku, kerana wasilah adalah suatu kedudukan di syurga yang tiada seorang pun patut (mendapatnya) kecuali seorang hamba dari hamba-hamba Allah. Dan Aku sangat berharap agar akulah orang tersebut, dan barangsiapa memintakan wasilah untukku maka dia berhak mendapat syafaat." (Sahih Muslim, 384)


Kenapa perlu solat selepas azan? Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam menganjurkannya, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis dalam Sahih Bukhari:
"بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ "ـ ثَلاَثًا ـ" لِمَنْ شَاءَ"
“Di antara dua azan (azan dan iqamat) ada solat (sunnah)” -baginda mengucapkannya tiga kali- “bagi yang mahu”. (Sahih Bukhari, 624)


Kenapa pula berdoa sebelum iqomah? Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah memberitahu kita dalam sebuah hadis bahawa doa antara waktu azan dan iqomah adalah doa yang tidak ditolak. Baginda bersabda:
"لاَ يُرَدُّ الدُّعَاءُ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ"
Tidak ditolak doa, antara azan dan iqomah. (Sunan Abi Daud, 521. Hadis ini dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani)


Rujukan: Sunnah.com

Tugas Jibril Selepas Wafatnya Nabi Sallallahu 'Alayhi Wa Sallam

Soalan:

As-Salamu ‘Alaykum. Saya ada beberapa persoalan:

  1. Malaikat Jibril tugasnya menyampaikan wahyu. Adakah Nabi Muhammad orang yg terakhir malaikat Jibril sampaikan wahyu?
  2. Kalau Nabi Muhammad orang terakhir menerima wahyu, Apakah tugas Malaikat Jibril selepas Nabi Wafat?

Ahad, 14 September 2014

Manusia yang dilaknat Malaikat

Pendahuluan

Dr Umar Sulaiman Al-Asyqar, dalam karyanya Dunia Malaikat, telah menghimpunkan beberapa riwayat tentang beberapa golongan yang dilaknat oleh Malaikat. Dan di antara mereka termasuk beberapa golongan dari kalangan orang Islam yang melakukan beberapa jenis dosa. Berikut adalah riwayat-riwayatnya: 

Golongan isteri yang menolak ajakan suaminya untuk ke katilnya


Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dari Abu Hurairah, bahawa beliau berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katilnya, lalu dia (isteri) enggan untuk pergi kepadanya (suami), maka malaikat melaknatinya sampai pagi.” dan dalam riwayat yang lain dikatakan: “...sehingga dia kembali taat.” HR Bukhari. 

Menurut Imam An-Nawawi, ketika mensyarahkan sebuah hadis seperti ini dalam riwayat Sahih Muslim, ia menunjukkan bahawa terdapatnya larangan kepada isteri dari menolak ajakan suami ke katilnya tanpa ada halangan syar’ie. Dan haidh tidak termasuk dalam halangan syar’ie yang dimaksudkan kerana suami berhak untuk berseronok dengan isterinya yang dalam keadaan haidh selagi ianya setakat bahagian yang dibenarkan. Manakala Ibn Hajar menukilkan pendapat Ibn Abi Hamzah Az-Zohir yang mengatakan bahawa “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katilnya” bermaksud jimak. 

Golongan yang menghunuskan senjata tajam kepada saudara seimannya. 


Imam Muslim telah meriwayatkan dalam kitab sahihnya dari Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, beliau berkata: Abul Qasim telah bersabda: “Barangsiapa menghunuskan senjata tajam kepada saudaranya seiman, maka dia dilaknat malaikat, meskipun orang tersebut adalah saudara kandungnya.” HR Muslim. 

Walaupun ianya sekadar gurauan, ia mungkin juga boleh menyebabkan berlakunya pembunuhan. Apatah lagi, senjata moden yang dengan hanya sekali petik, dengan pantas ia membunuh. Telah ramai yang telah terbunuh oleh saudara sendiri tanpa disengajakan seperti ini. 

Golongan yang mencela sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam

Diriwayatkan dalam Mu’jam At-Tabrani dari Ibn Abbas dengan sanad yang baik, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda: “Barangsiapa yang mencaci sahabatku, maka baginya laknat Allah, laknat malaikat dan semua manusia.” HR At-Tabrani. 

Kita merasa aneh dengan satu kaum yang menjadikan agama mereka dengan mencaci maki para sahabat dan menganggapnya satu cara mendekatkan diri kepada Allah. Padahal Rasulullah telah memberitahu kita tentang balasannya seperti yang disebutkan dalam hadis di atas.

Golongan yang mengelak dari berhukum dengan hukum Allah

Diriwayatkan dalam Sunan An-Nasa’i dan Ibn Majah dengan sanad yang baik dari Abdullah bin Abbas, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah bersabda: “ Barangsiapa yang membunuh dengan sengaja, maka baginya hukuman mati (qisas). Dan barangsiapa menghalangi perlaksanaan hukuman qisas ini, maka baginya laknat Allah, malaikat dan manusia semua.” HR An-Nasa’i dan Ibn Majah. 

Maka barangsiapa yang mengelak seorang pembunuh dari dihukum dengan hukuman Allah maka baginya laknat tersebut. Bagaimana pula orang yang mengelakkan hukuman-hukuman Allah yang lain?

Golongan yang melindungi pelaku bid’ah

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan dari Sunan Abi Daud, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa yang mengada-adakan sesuatu (dalam agama Islam), atau melindungi orang yang melakukan hal itu, maka baginya laknat Allah, malaikat dan seluruh manusia.” HR Abu Daud. 

Dalam sebuah hadis lagi dari Sahih Bukhari dan Sahih Muslim, dari Ali bin Abi Talib, dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam telah bersabda: “Madinah adalah tanah haram (terhormat) antara daerah ‘Air dan Tsaur. Barangsiapa berbuat hal yang baru (dalam Islam) di sana atau melindungi pelaku perbuatan hal baru, maka baginya laknat Allah, malaikat dan seluruh manusia. Dan di hari kiamat, Allah tidak akan menerima perbuatan ibadah dari dia baik yang wajib atau yang sunnah.” HR Bukhari. 

Penutup

Kita memohon kepada Allah, agar diberi hidayah kepada kita serta ahli keluarga kita supaya kita dijauhkan dari melakukan perkara-perkara yang dilaknat ini secara sengaja mahupun secara tidak sengaja.

Rujukan: 
  1. Dunia Malaikat, Dr Umar Sulaiman al-Asyqar, Riyadh: International Islamic Publishing House, 2008. (p. 135-137)
  2. جواب شبهة حول حديث (..لعنتها الملائكة حتى تصبح)
  3. Fathul Bari (versi Maktabah Syamilah), Ibn Hajar Al-Asqalani, (9/294) 


Moga Allah Menjaga Agamamu

[DOAKAN KEBAIKAN UNTUK SAHABATMU - KETIKA DIA HENDAK BERMUSAFIR]

‏ أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ 
‘Astaudi’ullaha diinaka wa amaanataka wa khawaatima ‘amalik‘ 
Aku serahkan kepada Allah pemeliharaan agamamu, amanahmu, dan penutup amalanmu
 _________________________________________________________________ 

Ucapan di atas adalah satu doa untuk kawan yang akan bermusafir. Ia telah diajarkan oleh seorang sahabat bernama Abdullah bin Umar, radhiallah 'anhu: 

عَنْ قَزَعَةَ قَالَ قَالَ لِى ابْنُ عُمَرَ هَلُمَّ أُوَدِّعْكَ كَمَا وَدَّعَنِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَسْتَوْدِعُ اللَّهَ دِينَكَ وَأَمَانَتَكَ وَخَوَاتِيمَ عَمَلِكَ 

Dari Qoza’ah, dia berkata: Ibnu Umar, radhiyallahu ’anhuma, berkata kepadaku, “Kemarilah, akan kulepaskan pemergianmu sebagaimana ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam melepaskan pemergianku (iaitu dengan doa), ‘Astaudi’ullaha diinaka wa amaanataka wa khawaatima ‘amalik‘ (Aku serahkan kepada Allah pemeliharaan agamamu, amanahmu, dan penutup amalanmu).” (HR. Abu Dawud, Syaikh al-Albani berkata: Hadis ini sahih dengan banyak jalannya, sebagiannya disahihkan oleh at-Tirmidzi, Ibnu Hibban, al-Hakim, dan adz-Dzahabi. Lihat Sahih Sunan Abu Dawud [7/353] software Maktabah asy-Syamilah)

Ketika bermusafir, agak sukar untuk kita menjaga agama kita. Jadi Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam telah mengajar kita supaya mendoakan agar Allah membantu sahabat kita menjaga agamanya. 

Baca artikel berkaitan di sini: goo.gl/FSQj0h

Selasa, 2 September 2014

Bersabar Dengan Kerenah Anak Perempuan


Dari Uqbah bin Amir radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullahsallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:


مَنْ كَانَ لَهُ ثَلَاثُ بَنَاتٍ فَصَبَرَ عَلَيْهِنَّ، وَأَطْعَمَهُنَّ، وَسَقَاهُنَّ، وَكَسَاهُنَّ مِنْ جِدَتِهِ كُنَّ لَهُ حِجَابًا مِنَ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ


Sesiapa yang memiliki 3 orang anak perempuan, lalu dia bersabar, memberinya makan, minum, dan pakaian dari hasil usahanya, maka semuanya akan menjadi penghadang dari neraka pada hari kiamat.


(HR. Ahmad 17403, Ibnu Majah 3669, dan disahihkan Syuaib al-Arnaut).


Sumber: Keutamaan Anak Perempuan