Pages

Jumaat, 29 Mei 2015

Siapakah yang Paling Mengenali Anda?


Siapakah yang paling mengenali diri kita? Adakah kawan rapat kita? Adakah kekasih kita sangat mengenali kita? Atau mungkin ibubapa kitakah orang yang paling mengenali kita?

Pelajaran dari Kelas Tadabbur Quran oleh Ustaz Baharudin Ayudin (Pusat Pengajian Qur'an - Semat Quran) membuktikan bahawa pencipta kitalah yang paling kenal akan diri kita. Kerana kasih dan rahmat-Nya, Dia memberitahu kita tentang diri kita, apa yang kita perlu tahu tentang diri kita. 

Mahukah kalian kenal diri kalian? Di bawah ini, saya sertakan nota pengajian bertajuk Siapa Aku.  Nombor yang disertakan adalah merujuk kepada No. Surah dan No. Ayat. Contohnya: (4:28) rujuk surah An-Nisaa', ayat ke-28. Nota disalin dari saudara Ahmad Azlan Shamsuddin, UITO.


Siapa aku?

Aku adalah makhluk Allah yang lemah (4:28)

Sebab apa lemah? Aku adalah makhluk Allah yang lemah, gopoh membuat keputusan, [21:37]

dilahirkan ke muka bumi ini dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa. Allah lengkapkan buat diriku selaku makhluk-Nya dengan pendengaran, penglihatan dan akal. Aku bersyukur kepada Allah dengan kurniaan-Nya itu. [16:78]

(Apa tanda kesyukuran atas nikmat Allah itu?) Aku berazam hendak menjadi hamba Allah yang sebenar-benarnya. Justeru itu adalah tujuan penciptaan jin dan manusia. Bahkan untuk tujuan itulah juga fungsi kewujudanku di atas muka bumi ini. [51:56]

Aku jadikan salatku, sembelihan korbanku, hidupku dan persdiaan untuk matiku hanya untuk Allah, Tuhan yang mencipta dan mengatur kehidupan seluruh makhluk-Nya, tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu yang lain. [6:162-163]

Hidup mengabdikan diri kepada Allah inilah yang disebut sebagai jalan yang lurus. Kalimah "mengabdikan diri" lebih tepat daripada "menyembah". Apa bezanya di antara menyembah dan mengabdikan diri? Sembah terikat pada tempat, waktu dan cara.[36:61]

Selaku hamba Allah, aku ditaklifkan dengan tanggungjawab untuk membimbing diriku dan keluargaku supaya terselamat daripada seksaan api neraka. [66:6]

Adalah menjadi kewajipan aku menyiapkan diri menjadi golongan rabbaniy [3:79]

supaya dapat memimpin diriku dan orang yang di bawah pimpinanku menjadi orang-orang yang bertakwa. [25:74]



Khamis, 28 Mei 2015

Beberapa Orang Soleh yang Dijadikan Berhala

وَقَالُوا لَا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلَا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلَا سُوَاعًا وَلَا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا (نوح:23)

"Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa', dan Yaghuth, dan Ya'uuq, serta Nasr. (Nuh:23)


 Siapakah mereka yang disebutkan dalam ayat di atas?
  • Wadd
  • Suwaa'
  • Yaghuth 
  • Ya'uuq
  • Nasr
Dalam tafsir Qurtuby, Tobary dan Ibn Kathir,   dinyatakan bahawa nama-nama yang disebutkan itu adalah asalnya nama orang-orang yang soleh. Apabila mereka meninggal dunia, Syaitan mencadangkan agar dibuat patung/ukiran sebagai memorial. Apabila generasi pembuatnya meninggal dunia, maka hilanglah maklumat tentang perkara tersebut. Pada generasi seterusnya, syaitan membisikkan bahawa dahulu patung/ukiran tersebut disembah lalu mereka menyembahnya. Inilah ringkasan maklumat dari tafsir-tafsir yang disebutkan di atas. 
 
Dalam satu riwayat dari Sahih Al-Bukhari, Ibnu Abbas menjelaskan,
 
أَسْمَاءُ رِجَالٍ صَالِحِينَ مِنْ قَوْمِ نُوحٍ ، فَلَمَّا هَلَكُوا أَوْحَى الشَّيْطَانُ إِلَى قَوْمِهِمْ أَنِ انْصِبُوا إِلَى مَجَالِسِهِمُ الَّتِى كَانُوا يَجْلِسُونَ أَنْصَابًا، وَسَمُّوهَا بِأَسْمَائِهِمْ فَفَعَلُوا فَلَمْ تُعْبَدْ حَتَّى إِذَا هَلَكَ أُولَئِكَ وَتَنَسَّخَ الْعِلْمُ عُبِدَتْ

Mereka adalah nama-nama orang soleh di kalangan kaum Nuh. Ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kaumnya untuk membuat patung di tempat-tempat peribadatan orang soleh itu. Dan memberi nama patung itu dengan nama orang soleh tersebut. Merekapun melakukannya. Namun patung itu tidak disembah. Ketika generasi (pembuat patung) ini meninggal dunia, dan pengetahuan tentang patung ini mulai kabur, akhirnya patung ini disembah. (HR. Bukhari, 4920).

Dari hal ini, kita pelajari bahawa, kita perlu berpada-pada dalam menghormati, mentaati, mencintai dan mengagungkan manusia. Jangan sampai berlebih-lebihan. Begitu juga, kita mesti berwaspada dengan tipudaya syaitan yang boleh memperdaya kita melalui kejahilan diri kita.

Kita mohon agar Allah memelihara kita dari terpedaya oleh tipudaya syaitan. Ameen.

 

Rabu, 27 Mei 2015

Hiburan yang Melalaikan

لَهْو الْحَدِيْث

 

لهو =hiburan (eAl-Qamus)

الحديث =percakapan, suara yang boleh didengari (Kamus Al-Maany)


Syeikh Abdullah Basmeih menterjemahkan dua perkataan ini sebagai cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan.

Dua perkataan ini disebut dalam surah Luqman ayat 6:

 وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَن سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا ۚ أُولَٰئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari ugama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan ugama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan.

Para ulama dikalangan sahabat Nabi radiallahu 'anhum, seperti yang terdapat dalam tafsir-tafsir mu'tabar, mentafsirkan sebagai muzik. Antaranya, dalam Tafsir Ibn Kathir, Ibn Mas'ud, Ibn 'Abbas, Jabir dan Ikrimah. Mereka mengatakan لهو الحديث ialah muzik.

Selain itu, ada juga ulama yang mentafsirkannya sebagai antaranya:

  • percakapan yang batil yang membawa mudarat

  • syirik

Imam Ibn Kathir menyebutkan beberapa perkara menarik dalam tafsiran beliau ke atas surah Luqman ayat ke 6 tersebut. Antaranya:

Apabila Allah menyebut tentang keadaan orang-orang yang berbahagia iaitu orang yang mengambil kitab Allah sebagai panduan dan mendengarnya supaya dapat diambil manfaat darinya, Allah juga menyebut keadaan orang-orang yang sebaliknya.

Ada manusia yang apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Allah, mereka berpaling dari mendengarnya kepada mendengar لهو الحديث. 

Zaman kita kita ini, jika kita ikutkan tafsiran para sahabat seperti di atas, iaitu muzik, hanya orang yang dirahmati Allah sahajalah terselamat dari mendengar muzik. Kebanyakan rumah, tidak boleh tidak, mesti ada tv. Dan setiap tv ada muzik. 

Moga Allah jadikan kita dalam golongan orang yang berhibur dengan Quran dan beramal dengan suruhan-Nya serta meninggalkan larangan-Nya. Ameen.

Bolehkah Bertemu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam Secara Sedar?

Soalan dari Puan Sri: Assalamualaikum... adakah kita boleh bertemu Rasulullah saw secara sedar ataupun mimpi?

Jawapan:

Wa'alaykum As-Salam.
Puan Sri. Bertemu Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam, secara sedar di sebut juga Yaqazah. Manusia zaman kita adalah mustahil untuk bertemu dengan baginda sallallahu 'alaihi wa sallam. Kumpulan Al-Arqam pernah dikatakan menyeleweng salah satunya kerana meyakini hal ini. Berikut adalah keterangan dari laman web Jakim tentang isu Yaqazah Kumpulan Al-Arqam: http://www.islam.gov.my/sites/default/files/menjawab_dakwaan_yaqazah_sesat_jemaah_al-arqam.pdf

Manakala, bertemu Baginda sallallahu 'alaihi wa sallam secara mimpi, ia tidak mustahil, dan terdapat hadis sahih yang menunjukkan hal ini. Cumanya, dalam penerangan ulama tentangnya, mereka ada menyebut bahawa syaitan boleh juga masuk dalam mimpi dan menyamar sebagai Nabi. Dengan sebab itu, perlu diperiksa ciri-ciri bentuk badan dan wajah Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam dengan hadis-hadis sahih yang menerangkan tentangnya, seperti yang terdapat dalam Kitab Syama-il Muhammadiyah. Isu ini juga pernah dijelaskan oleh Syeikh Abdurrazaq Al-Badr dalam syarah beliau ke atas Kitab Syama-il Muhammadiyah Karya Imam At-Tirmizi.

Dari Abu Hurairah radhiallahu’anhu bahwa Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
من رآني في المنام فقد رآني فإن الشيطان لا يتخيل بي

“Siapa yang melihatku dalam mimpi, dia benar-benar melihatku. Kerana syaitan tidak mampu meniru rupa diriku.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Wallahu a'lam.

Catatan Amalan Orang-orang yang Berbakti

كِتَابَ الْأَبْرَارِ



كِتَاب = kitab atau buku
الْأَبْرَار = orang-orang yang berbakti


Dua perkataan ini disebutkan dalam surah Al-Mutoffifeen, ayat 18. Dan ayat-ayat sekitarnya menerangkan sedikit tentangnya. Syeikh Abdullah Basmeih menterjemahkannya sebagai "kitab suratan amal orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan)". 

Kitab catatan ini adalah satu anugerah istimewa yang disediakan untuk manusia pada alam selepas alam dunia, khas untuk orang-orang baik. Terdapat satu lagi kitab catatan yang dinyatakan dalam surah yang sama iaitu Kitab Al-Fujjar (كِتَابَ الْفُجَّار). Ia adalah untuk orang-orang fujjar. 

Keistimewaannya, ia nanti akan berada di satu tempat yang tinggi. Manakala tuan kitab pula akan berada dalam syurga menikmati nikmat-nikmat yang tersedia untuk mereka.


Terjemahan surah Al-Mutoffifeen (18-28):
( 18 )   Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya "kitab suratan amal" orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam" Illiyiin".
( 19 )   Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia "Illiyiin" itu?
( 20 )   Ialah (tempat simpanan) kitab catitan yang jelas nyata,
( 21 )   Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya.
( 22 )   Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam Syurga yang penuh nikmat:
( 23 )   Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ).
( 24 )   Engkau dapat melihat pada muka mereka: cahaya nikmat yang mereka perolehi.
( 25 )   Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya,
( 26 )   Meterainya kasturi; - dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan;
( 27 )   Dan campuran minuman itu adalah dari "Tasnim":
( 28 )   laitu mata air yang diminum daripadanya oleh orang-orang yang di dampingkan (Tuhan di sisiNya).


Semoga kita tergolong dalam golongan yang mendapat Kitab Al-Abraar ini. Ameen.